NUFFNANG

Showing posts with label 2. PEMILIHAN JENIS RUMAH. Show all posts
Showing posts with label 2. PEMILIHAN JENIS RUMAH. Show all posts

Thursday, 15 January 2015

Tips Dan Panduan Merekabentuk Rumah Selamat Dan Mesra Kanak-Kanak

Teks: Khairunnisa hamzahara



Pada hari selasa yang lalu, saya mendapat email dari seorang wartawan Harian Metro untuk berkongsi tips dan panduan tentang rumah yang selamat diduduki oleh kanak-kanak. Oleh itu, saya turut kongsikan di sini bagi pengetahuan umum terutamanya pembaca blog yang turut sedang mencari info tentang ciri-ciri rumah yang selamat diduduki oleh anak-anak.

Berikut adalah soalan Temuramah dari wartawan Harian Metro dan jawapan ringkas dari saya. Sekiranya ada pertanyaan lanjut, boleh email saya selepas membacanya ya. 

1) Apa ciri-ciri keselamatan yang perlu ada pada kediaman untuk memastikan ia selamat didiami kanak-kanak.

Sudah menjadi lumrah kanak-kanak adalah bersifat aktif dan ingin mencuba. Mereka juga sentiasa berfikiran positif dan yakin boleh melakukan. Oleh itu, perlu berhati-hati dan mengelakan sebaik mungkin risiko bahaya yang boleh berlaku pada kanak-kanak di rumah. Antara ciri-ciri keselamatan yang perlu dititikberatkan demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di rumah adalah :

1- Sentiasa Tenang apabila selamat dan berbunyi apabila berisiko
2- Tiada Peralatan Melimpah (Peralatan tersimpan cermat)
3- Keselamatan terjamin sehingga luar sempadan rumah
4- Segala Lubang Aliran ditutupi
5- Perabot dan kelengkapan rumah mesra dengan kanak-kanak
6- Dilengkapi dengan Pagar Keselamatan
7- Tali Langsir dan Tirai tidak mudah dicapai
8- Tingkap Dan Pintu tidak mudah dibuka luas atau dipanjat
9- Mengelakan Risiko Keracunan
10-Mengelakan Risiko Kelemasan
11- Mengelakan Risiko Kebakaran
12- Dilengkapi Persediaan Untuk Kecemasan
13- Mengurangkan penggunaan kaca dalam bahan binaan
14- Mengelakan rekabentuk binaan atau elemen yang mudah dipanjat
15- Suis dan barangan elektrik berada di kedudukan yang tinggi dan sukar dicapai oleh kanak-kanak

Ciri-ciri keselamatan ini boleh disediakan semasa di awal kehamilan di mana memastikan tahap keselamatan anak di rumah ketika bayi, ketika boleh merangkak, ketika bertatih, ketika boleh berjalan, ketika boleh berlari, ketika boleh memanjat dan ketika sudah boleh berfikir dan mempunyai idea-idea luar biasa.







2) Bagaimana cara memilih perabot yang bersesuaian? Adakah ia mempengaruhi ciri keselamatan kediaman?

Sekiranya anak-anak masih kecil, ibu bapa boleh memilih perabot yang mesra dengan kanak-kanak di rumah. Misalnya sekiranya memilih meja , pilihlah yang tidak mempunyai bucu yang tajam. Meja yang mempunyai bucu yang bulat dapat mengurangkan kemalangan yang serius apabila anak kecil terlanggar bucu meja tersebut berbanding meja yang mempunyai bucu yang tajam.



Jika mempunyai anak-anak yang aktif, dalam pemilihan perabot, elakan memilih perabot yang tinggi dan keras. Sebaliknya memilih perabot yang rendah dan lembut. Misalnya sofa, pilih sofa yang rendah dan dibuat dari material yang lembut seperti bantal. Ia akan melantun dan membentuk mengikut jisim yang jatuh ke atasnya berbanding sofa yang mempunyai material kayu atau besi.


Untuk keselamatan, lebih baik mempunyai perabot bina dalam (built in kabinet) berbanding perabot boleh alih. Ini kerana apabila mempunyai perabot siap bina dan tidak boleh bergerak, ia mengurangkan risiko untuk kanak-kanak menggunakannya untuk bermain dan memanjat. Misalnya almari rak buku bertingkat gemar dipanjat oleh kanak-kanak. Bagi almari rak buku yang boleh alih, ia mempunyai risiko untuk terbalik dan menghempap kanak-kanak. Ia juga boleh ditarik oleh kanak-kanak untuk dijadikan tangga bagi mereka mudah memanjat balkoni atau tingkap. Selain itu, mempunyai perabot kabinet bina dalam mengurangkan risiko anak-anak terjumpa barang-barang pertukangan atau alatan yang membahayakan. Jadi adalah baik untuk mempunyai perabot bina dalam bagi menyimpan alatan pertukangan dan alatan lain yang bahaya digunakan oleh kanak-kanak. Awas! Usah biarkan ianya mudah dicapai oleh kanak-kanak. Kerana sudah lumrah anak-anak suka mencuba untuk bermain.



3) Apa bentuk rekaan kediaman yang selamat untuk kanak-kanak.

Tips terbaik semasa merekabentuk kediaman adalah, perekabentuk atau ibu bapa menurunkan badan dan pandangan ke bawah. Jika perlu, cuba merangkak. Ini bagi membayangkan apakah kemungkinan yang boleh terjadi kepada anak-anak dengan ketinggian merangkak dan berdiri mereka. Apakah yang akan menarik minat mereka untuk mencapai atau mencuba dengan ketinggian mereka itu. Dengan cara ini kita boleh mengenal pasti rekaan yang sesuai untuk kediaman agar mesra dengan kanak-kanak seperti:

1- Tiada sebarang suis di ketinggian boleh capai kanak-kanak samaada merangkak atau berdiri
2- Tiada sebarang elemen boleh dipanjat di ketinggian merangkak dan berdiri kanak-kanak
3- Tiada sebarang lubang yang boleh dilepasi oleh anak-anak dari saiz bayi hingga saiz kanak-kanak
4- Tangga tidak boleh dinaiki atau dituruni oleh kanak-kanak sendiri (Misalnya mempunyai pintu atau pagar)
5- Dipasang sistem penggera atau bunyi yang aktif di laluan atau ruang yang berisiko (misalnya kolam renang) apabila mengesan pergerakan masuk ke ruang tersebut. Ini dapat memberitahu orang dewasa di mana anak tiba-tiba hilang dari pandangan dan ketempat yang membahayakan.
6- Tidak mempunyai sebarang bucu yang tajam baik di dinding, tangga, mahupun perabot.
7-Tidak menggunakan elemen cermin dan kaca dengan banyak kerana ia membahayakan kanak-kanak ketika berlari atau terjatuh.
8- Pintu dan tingkap mempunyai renggangan bagi mengelakan kanak-kanak tersepit jari ketika bermain pintu dan tingkap. Sebaiknya sukarkan bukaan dan tutupan pintu bagi mengelakan kanak-kanak bermain atau keluar masuk sendirian.

Namun begitu perlu dikaji dengan sebaiknya kerana sudah ada kes di mana apabila berlakunya kebakaran, di mana kanak-kanak tinggal sendirian di rumah, tiada satu cara pun untuk kanak-kanak tersebut melepaskan diri kerana pintu dikunci dan tingkap penuh dengan jeriji. Akhirnya ia menyebabkan kematian yang menyedihkan kerana terbakar di dalam rumah yang "sangat selamat".

 4) Untuk kediaman jenis bertingkat (flat, apartmen dan kondo), apa langkah keselamatan yang perlu diutamakan?

Bercakap mengenai kediaman bertingkat, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan. Antaranya adalah :

Pembinaan Slab Unjuran Dan Kotak Tanaman Di Sebalik Balkoni :
Di setiap bukaan tingkap, perlu ada unjuran atau balkoni. Di sebalik balkoni pula boleh diwujudkan kotak tanaman konkrit. Ini bagi mengelakan kecelakaan seperti kanak-kanak terjatuh terus ke tingkat bawah tanpa sekatan. Sekiranya terdapat slab unjuran di bawah tingkap dan kotak tanaman di sebalik luar balkoni, kemungkinan untuk kanak-kanak jatuh terus ke bawah dapat dielakan. Ia mungkin boleh terselamat kerana terjatuh atau tersangkut di unjuran dan kotak tanaman tersebut.


 


Rekabentuk Pagar Keselamatan:
Sekiranya merekabentuk pagar atau grill di mana-mana bahagian di rumah jenis bertingkat, elakan menggunakan rekabentuk melintang. Ini kerana rekabentuk melintang memudahkan kanak-kanak memanjat seperti tangga. Cara terbaik adalah membina jeriji grill tersebut secara menegak dan rapat. Ia mengelakan kanak-kanak dari memanjat. Namun perlu dipastikan jarak antara jeriji tidak terlalu besar sehingga boleh melepasi saiz kanak-kanak yang merangkak. Justeru itu dinasihatkan agar 500mm yang pertama dibina dengan slab konkrit terlebih dahulu, berikutnya di bina dengan jeriji mengeak.



Tempat membuang sampah:
Ada rumah bertingkat yang dibina lubang sampah dari setiap tingkat secara menegak dari atas hingga ke bawah terus ke rumah sampah di tingkat bawah. Oleh itu perlu berhati-hati dalam pembinaan lubang sampah ini. Sistem yang digunapakai hendaklah menyukarkan kanak-kanak dari boleh masuk ke dalam lubang ini dan menyebabkan jatuh ke bawah secara terus.





5) Adakah pemasangan penggera keselamatan atau CCTV perlu untuk mereka yang mempunyai anak kecil?

Ya, jika mempunyai budget, ibu bapa boleh memasang penggera keselamatan dan CCTV di setiap ruang bagi menjejak keselamatan anak-anak sekiranya tidak dapat bersama mereka di ruang tersebut pada ketika itu. Ia juga membantu mengenalpasti kedudukan anak terutamanya anak-anak yang aktif dan suka mencuba perkara baru secara sembunyi dan perlahan-lahan. Selain itu, sistem ini dapat membantu memberitahu akan kedatangan orang asing ke rumah tanpa diundang.


KHAIRUNNISA HAMZAHARA
Ijazah Sarjana Muda Senibina UTM, Skudai
Perekabentuk Kediaman
Arkitek Graduan Berdaftar Dengan Lembaga Arkitek Malaysia
Penulis Blog Panduan Untuk Kediaman Idaman
(http://khairunnisahamzahara.blogspot.com)
khairunnisahamzahara@gmail.com
whatsapp 0197720507


----------------------------------------------------------------------------------------------------------



Dapatkah khidmat rekabentuk 3d kediaman di sini:  http://rekabentuk3donline.blogspot.com/



Dapatkan ebook rahsia, tips dan panduan di sini:

Ebook Rahsia Teknik Branding Untuk Diri dan Perniagaan : http://rahsiabranding.blogspot.com/


Dapatkan Ebook Panduan Kediaman Pertamaku di sini:




Friday, 27 December 2013

Rumah Jenis Banglo (Sebuah)

Teks : khairunnisa hamzahara



Rumah banglo atau rumah jenis sebuah merupakan rumah yang paling selesa untuk didiami. Ini kerana ia tidak ada perkongsian dinding atau lantai dengan unit kediaman yang lain seperti rumah teres atau rumah jenis bertingkat. Namun tidak semua orang mampu memiliki kediaman jenis banglo (sebuah) ini. Jika kita lihat di kawasan luar bandar atau di pinggiran bandar, masih banyak rumah banglo yang dimiliki oleh kebanyakkan orang yang rata-rata nya merupakan rumah pusaka atau rumah peninggalan keluarga . 

Namun di dalam bandar ia hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berada kerana kos kehidupan dan kos tanah yang tinggi. Misal di Bandar Baru Bangi saja, sekaki tanah saja sudah mencecah hingga rm50-rm60 sekaki. Di Kuala Lumpur saya sendiri pernah berurusan dengan tanah yang berharga rm ribuan untuk sekaki. MasyaAllah. Namun yang paling saya tidak dapat lupakan adalah pengalaman ketika berkunjung ke Beijing, China. Di sana, satu kaki persegi keluasan rumah berharga rm puluhan ribu ringgit. Oleh itu, masing-masing hanya mampu membeli sekotak ruang untuk dijadikan tempat berlindung.

KEISTIMEWAAN RUMAH BANGLO

TAMAN
Yang seronoknya apabila memiliki rumah banglo (jenis sebuah), kita mempunyai tanah lebihan sendiri untuk dibuat taman dan bercucuk tanam. Bolehlah ditanam pokok-pokok redup yang menghijau bagi memberikan suasana redup di kawasan laman rumah.

PARKING
Tempat letak kenderaan juga tidak mengganggu kejiranan jika ia dapat dimuatkan di dalam kawasan tanah rumah banglo itu sendiri.

PENCAHAYAAN DAN PENGUDARAAN SECUKUPNYA
Kediaman jenis banglo (sebuah) ini adalah jenis kediaman yang paling sempurna dalam penerimaan cahaya dan pengudaraan yang secukupnya untuk penghuni di dalam rumah. Ini kerana ia tidak mempunyai dinding untuk dikongsikan dengan unit kediaman yang lain. Jadi setiap bilik dan ruang boleh mendapat cahaya dan pengudaraan melalui bukaan tingkap dan pintu.

PERSENDIRIAN
Dengan menjalani kehidupan di kediaman jenis banglo, penghuninya akan merasakan lebih selesa dengan persekitaran yang persendirian di mana tidak ada perkongsian laman atau lantai dan bumbung rumah. Tidak seperti rumah yang berkongsi dinding dan lantai di mana suara serta bunyi dari unit rumah yang lain boleh didengari dengan jelas dan kadangkala boleh mengganggu tidur malam dan keamanan.

PERMASALAHAN YANG SELALU DIHADAPI OLEH PENGHUNI RUMAH BANGLO

KEJIRANAN YANG KURANG MESRA
Apabila menjalani kehidupan persendirian, ia menjadikan kebanyakkan penghuni rumah banglo kurang beramah mesra dengan jiran sekeliling. Apatah lagi yang membina tembok tinggi di sekeliling rumah. Ini akan menimbulkan masalah sosial di kalangan jiran di mana jiran tidak kenal mengenal antara satu sama lain.

RISIKO KESELAMATAN
Apabila tidak saling berinteraksi dengan jiran, berkemungkinan sukar untuk mendapat pertolongan apabila diperlukan. Sebab itu kita sering perdengarkan kisah rumah banglo yang dirompak dan penghuninya kesemuanya mati diteteak dan sebagainya namun tidak didengari oleh jiran-jiran yang masing-masing jarak unitnya agak jauh. Jiran hanya menyedari apabila terdapat bau busuk yang mengganggu kejiranan atau apabila ada sanak saudara yang datang berkunjung dan apabila sampai dapat menghidu bau busuk. 

Bukanlah saya ingin menakutkan mereka yang berumah sebuah, malah saya juga insyaallah akan memiliki juga rumah sebuah satu hari nanti. Jadi apakah yang boleh kita lakukan untuk berasa aman di dalam unit kediaman banglo kita sendiri?

1. rapatlah dengan jiran sekeliling
2. pasang sistem penggera keselamatan yang disambungkan dengan balai polis berhampiran
3. dan semestinya banyakkan berdoa kepada Allah akan keselamatan rumah dan seisi rumah

PEMBINAAN RUMAH BANGLO

Ada rumah yang dibeli siap (dibina oleh pemaju perumahan) dan ada rumah yang perlu dibina sendiri. Untuk rumah banglo yang dibina sendiri, pemilik perlu berurusan dengan beberapa orang untuk urusan pembinaan kediaman mereka ini. Antaranya:

Arkitek
Agensi Kewangan
Kontraktor
Dan sebagainya.

Jika tidak melantik arkitek, ianya akan menjadi lebih parah kerana pemilik perlu melantik sendiri pelukis pelan, konsultan elektrik, konsultan tanah, konsultan mekanikal, konsultant surveyor , melantik kontraktor, dan sebagainya dengan sendirinya. Kelebihan apabila melantik arkitek, ianya diuruskan dari A-Z sehingga rumah siap sempurna dan boleh diduduki tanpa perlu pemilik berurusan sana sini. Tambahan lagi ianya lebih terjamin dan selamat di sisi undang-undang. Bagi pembinaan rumah sendiri yang tidak mengikut undang-undang dan melantik mereka yang tidak bertauliah boleh menyebabkan pemilik perlu menanggung kerugian sendiri apabila berlaku masalah seperti kontrakor lari, rumah runtuh dan sebagainya. Oleh itu pemilik yang mana tela membina sendiri rumah tanpa mengikut undang-undang dinasihatkan agar membuat urusan dengan majlis dan bayar denda, kemudian majlis akan datang memeriksa keselamatan rumah. Ini kerana keselamata penghuni rumah lebih utama. Hati-hati dalam berurusan. Jangan kerana inginkan harga yang murah, rumah yang ahli keluarga berteduh tidak selamat rupanya kerana di bina oleh mereka yang tidak bertauliah dan di bina dengan tidak jujur (jimatkan konttraktor-jimat guna bahan-binaan rumah jadi tidak berkualiti)

Nampaknya sampai di sini dahulu artikel yang dikongsikan hari ini. Sebelum itu jemput lihat binaan tempahan rumah banglo setingkat yang sedang dalam proses pembinaan 3D nya. Pemilik kediaman ini ingin membina sebuah rumah banglo 1 tingkat yang berada berdekatan laut dan dinaikkan di kawasan tambak sawah padi.Insyaallah saya akan cuba siapkan rekabentuk 3D nya pada minggu ini untuk mudahkan pemilik menjalankan proses selanjutnya untuk mula mendirikan rumah bnaglo ini yang mungkin dijadikan homestay atau tempat tinggal keluarga nya sendiri.






untuk tempahan rekabentuk kediaman / hiasan dalaman/ landskap/ ruang dan sebagainya, boleh hubungi saya di khairunnisahamzahara@gmail.com atau message di whatapps 0197720507

Khairunnisa Hamzahara
Senibina Kehidupan Di Rumah




Saturday, 26 October 2013

FASAD (Rupa) HADAPAN SEBAGAI WAJAH KEDIAMAN

Teks : khairunnisa hamzahara

Fasad hadapan merupakan satu perkara yang paling dititikberatkan dalam membentuk sesebuah kediaman. Ia merupakan wajah untuk kediaman seperti manusia yang ada wajah di hadapan. Wajah yang cantik dan mesra mendekatkan seseorang dengan seseorang yang lain, begitu juga dengan wajah kediaman. Fasad kediaman yang menarik menyebabkan ia gemar dikunjungi dan mudah diingati oleh orang sekeliling mahupun tetamu lain yang pernah berkunjung. 

Bagi yang memiliki rumah sebuah, untung kerana dapat merekabentuk wajah kediaman sebagaimana yang dikehendaki. Tetapi bagi yang membeli rumah siap seperti rumah teres, jangan pula bersedih. Wajah kediaman masih boleh di make up dan di ubah sebenarnya. 

*Fasad = Pandangan



Insyaallah kali bakal siap tempahan rekabentuk untuk 3D Banglo bagi seorang pelanggan yang merupakan juga pembaca blog Panduan Untuk Kediaman Idaman -http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/. Semasa mula2 dapat tempahan melalui whatapps, pelanggan ini hanya snap gambar lakaran pelan rumah yang dia telah bincangkan bersama isteri dan pelukis pelan. Namun katanya, mereka berhadapan dengan masalah bagaimana rupa rumah mereka. Lukis-lukis pelan tapi tak tahu rupa sebenar bila nak dirikan bagaimana. Jadi dia bersepakat dengan isteri untuk dapatkan rekabentuk Fasad Hadapan sahaja untuk dia teruskan projek bina rumah idamannya. Alhamdulillah, lepas berhubung dan berbincang serta menjawab beberapa soalan, rekabentuk untuk fasad hadapan pelan kediaman nya hampir siap. Pelanggan ini meminta 2 fasad yang berlainan. InsyaAllah sedang diusahakan.

KHAIRUNNISA HAMZAHARA
{Senibina Kehidupan Di Rumah}

Untuk menampah rekabentuk kediaman ,rekabentuk hiasan dalaman kediaman, landskap, dan ruang-ruang tertentu seperti pejabat, kedai, tadika dan sebagainya boleh berhubung dengan penulis di:

Email: khairunnisahamzahara@gmail.com
whatapps (message sahaja) : 0197720507

ATAU di FB official penulis : Khairunnisa Hamzahara

Belajarlah asas membina sebuah blog yang berpengaruh dan dikunjungi ramai bermula di sini :

Wednesday, 4 September 2013

Trend Rumah Teres Di Malaysia

Teks: khairunnisa hamzahara
Imej: Carian Google


Gambar : Rumah Penulis, Teres 2 tingkat (2010-march 2013)
Alhamdulillah, bertemu kembali
Selepas entry yang lalu berkenaan Rumah Teres, saya tambah pula entry berkenaan Trend Rumah Teres Di Malaysia

Rumah teres adalah jenis rumah yang paling popular dalam banyak-banyak jenis pelan pembangunan baik yang bakal mahupun yang telah di majukan oleh kebanyakkan pemaju perumahan berbanding rumah jenis lain. Oleh kerana kebanyakkan pemaju menyediakan perumahan jenis teres, maka masyarakat Malaysia pun ramailah yang beli dan tinggal di rumah jenis teres. 

Saya suka bercakap tentang rumah teres ini sebab saya juga tinggal di rumah teres hampir 30 tahun lamanya (rumah orang tua saya). Jika saya lahir tahun 1984 dan saya telah pun tinggal di rumah jenis teres, bilakah mulanya trend rumah teres ini dalam pelan pembangunan pemaju perumahan ya? Setelah hampir 30 tahun lamanya, kita masih sama, dahulu tinggal di rumah orang tua yang mana rumah mereka jenis teres, sekarang selepas bekerja, rumah teres jugalah yang mampu kita beli. (ini kisah mereka yang tinggal di kawasan urban dan suburban :))

Saya berasa sedikit sedih kerana trend dahulu, yang 30 tahun yang lalu masih sama sehingga kini. Masyarakat hanya mampu membeli rumah jenis teres. Bezanya dahulu teres kebanyakkannya jenis satu tingkat, kemudian trend teres 2 tingkat dan sekarang teres sudah mencecah 3 tingkat. Jika dahulu saya membesar di rumah teres 1 tingkat, apabila kami adik beradik meningkat dewasa, orang tua kami menaikkan rumah kepada 2 tingkat (struktur rumah teres lama dahulu kuat, standby untuk naik 2 tingkat). Lepas tu, mulalah berjangkit jiran sekeliling naikkan rumah masing-masing kepada 2 tingkat. Sekarang bila survey rumah untuk dibeli dah ternganga sebab dah banyak yang 3 tingkat (jika di bandar seperti selangor dan kuala lumpur)

Saya yakin, rata-rata yang sedang baca entry saya, mereka juga pernah tinggal di rumah teres atau sedang dalam proses membeli rumah teres ataupun sedang tinggal di rumah teres. Saya nak kongsikan sedikit pendapat saya tentang trend rumah teres yang ada di negara kita.

Pelan Terbuka


Gambar : Konsep Pelan Terbuka yang disediakan oleh pemaju -Rumah Penulis (2010-march2013)

Dahulu perancangan ruang sangat teliti. "Privacy" menjadi keutamaan dalam perancangan ruang. Ruang tamu dan ruang keluarga terpisah dengan dinding. Tetamu hanya berada di sekitar ruang tamu. Bagi tetamu yang kurang rapat, meja kopi digunakan sebagai meja hidang air dan kuih. Bagi tetamu yang rapat boleh di bawa sampai ke meja makan di ruang makan dan seterusnya. Namun begitu, trend semakin moden, privacy tidak lagi menjadi agenda. Aurat bukan lagi keutamaan. Kenapa saya kata begitu? 

Sebab sekarang pelan rumah terbuka. Bukan setakat ruang tamu dan ruang makan bersambung terus malah ada yang terus sampai ke dapur. Ini bermakna dari pintu masuk dah boleh nampak isteri tuan rumah sedang masak di dapur. Mungkin ada yang tak kisah, tapi masih ramai yang tidak selesa. Dan ianya adalah normal untuk tidak selesa dengan trend sebegini. 

Pelan Terbaik


Gambar : Penulis seronok merekabentuk rumah salah seorang sahabat lama yang gunakan perkhidmatan rekabentuk 3D penulis, Rumah ini dibahagikan ikut ruang. Dan ada nilai privacy untuk tuan rumah. Namun ia disusun secara bertingkat (rumah 3 tingkat)

Pelan terbaik untuk rumah teres (tiada pilihan lain, ekonomi tak cukup, yang mampu rumah teres sahaja atau memang sengaja nak duduk di rumah teres kerana mahukan kejiranan yang ramai dan rapat-mcm konsep rumah panjang), memenuhi keperluan penghuni di dalam rumahnya. Ada ruang seperti berikut :
ruang tamu, 
ruang makan,
ruang keluarga, 
ruang kerja,
ruang dapur kering, 
ruang dapur basah, 
ruang mesin basuh, 
ruang sidai baju, 
ruang bilik tidur ibu bapa, 
ruang bilik tidur anak lelaki, 
ruang bilik tidur anak perempuan, 
ruang bilik tetamu, 
ruang bilik stor, 
ruang parking kereta, 
dan tak lupa juga ruang tanaman dan landskap.

Jika alasannya keluasan tanah tidak mencukupi, mungkin pemaju boleh mula besarkan sedikit keluasan saiz tanah dan binaan rumah teres di atas tanah tersebut. jika dulu trend rumah 18x65 dan 20x70, sekarang sudah mula trend 22x75 dan 24x80, apa kata di besarkan lagi saiznya. Pembeli boleh memilih untuk rumah jenis setingkat atau 2 tingkat atau pun 3 tingkat. Yang penting kesemua ruang yang disebutkan itu ada. Jika satu tingkat, mungkin lebar dan panjang rumah dilebihkan lagi bagi memuatkan ke semua ruang. Bagi yang bertingkat tidak jadi masalah kerana boleh dinaikkan ruang di tingkat atasnya.

Renovation (Ubahsuai)


Gambar : Carian Google

Percaya atau tidak mahu percaya, hampir rata-rata rumah teres yang siap dibina diUBAH semula oleh tuan rumah! Jarang sekali kita lihat sederet rumah itu tidak ada kerja-kerja ubah suai. Kecuali PUTRAJAYA. Kenapa? dalam syarat-syarat jual beli di putrajaya, pembeli tidak boleh menukar fasad rumah. Ini kerana mereka ingin jadikan Putrajaya sentiasa dilihat harmoni dan cantik. (maaf ya, ramai yang buat ubahsuai rumah nampak lagi tak senonoh dari keadaan asal sebab pakai penasihat yang tak bertauliah). Jika nak mensyaratkan peraturan sebegini di tempat lain, tak boleh juga sebabnya pembangunan di Putrajaya sangat diambil berat dan dirancang dengan teliti bagi memastikan bandar itu ada kualiti baik dalam pembangunan mahupun kehidupan sosialnya. Di tempat lain, ia tidak lagi menjadi agenda majlis daerah tersebut. Bukannya apa, sebab Putrajaya membangun sekali jalan, jadi boleh lah perancangan dibuat. Tempat lain pembangunan telah bercampur aduk jadi susah untuk di kawal. Akibatnya ramai lah yang Ubah suai rumah ikut macam-macam cara dan gaya.

Apa maksudnya ini? Ini bermaksud penghuni tidak selesa atau tidak berpuas hati dengan pelan asal rumah tersebut. Saya pernah tinggal di kawasan kediaman yang tidak ada sesiapa pun yang buat kerja renovasi terhadap fasad rumah mereka. Kenapa? sebab semua orang sudah berpuas hati dengan pelan dan ruang serta bahan yang digunakan. Nampak kan? Bila orang dah berpuas hati, tak kan orang sibuk nak ubah. Jadi , para pemaju memainkan peranan penting untuk bangunkan rumah teres terbaik untuk masyarakat Malaysia yang mampu memiliki rumah teres ini sahaja. 

Bertingkat


Gambar : Carian Google

Mungkin yang sedang survey rumah untuk nak dibeli sekarang ni, teruja nak beli rumah yang 2 tingkat atau lagi "wow"!! nak yang 3 tingkat lah!. Tapi apakah relevannya tinggal di rumah yang bertingkat. Kalau setiap rumah ada lift atau sistem angkutan naik turun atas ke bawah, saya orang pertama yang mewajibkan semua orang beli lah rumah bertingkat ni. Sebabnya atas tanah yang keluasan sama, untung lagi rumah yang bertingkat sebab dapat ruang lagi banyak yang di susun makin ke atas.

Namun yang pernah tingal rumah teres bertingkat ni pasti faham maksud saya. Pertama, kaki lenguh turun naik tangga. Lagi-lagi yang ada anak kecil, bila dah naik atas, "oh" tertinggal pulak susu anak kat dapur, turun tangga semula ambi susu dan naik semula. Kaki naik lemau turun naik tangga dalam sehari. Kalau jadi suri rumah sepenuh masa lagi lah. Kerja nya naik turun memanjang. 

Pernah ada sahabat yang sanggup biarkan ruang di tingkat atas kosong. Buat setor katanya. Kami tak duduk atas. Semua nya di bawah saja. Jadi apa maknanya beli rumah teres yang bertingkat? Rata-rata pemaju reka letak bilik master di tingkat atas. Bagi ibu bapa yang dah kurang berkemampuan dari segi fizikal dan tenaga mana mahu untuk tinggal di bilik master di tingkat atas. Di bawah pula hanya ada bilik maid yang kecil. Jadi,pikir-pikir kan lah semasa nak beli rumah dan masa nak renovate rumah. Apa cadangan saya? Saya cadangkan kalau nak beli rumah jenis teres, belilah rumah teres 1 tingkat sahaja dengan keluasan yang selesa seperti 24x80 (setakat ini tak ada yang buat rumah teres setingkat dengan keluasan lebih dari itu) Lagi-lagi buat mereka yang baru berkeluarga. Ya,rumah 2 tingkat sesuai bila dah ada anak dewasa, mereka boleh tinggal di tingkat atas. Namun perlu diperhatikan aktiviti mereka. Sebab pelan rumah yang bertingkat mampu memberi jurang kepada perhubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak boleh menyorok dari ibu ayah terhadap aktiviti mereka di ruang atas. 

Tapi Dukacitanya saya nak maklumkan yang di bandar-bandar besar, kita tidak akan dapat lagi jumpa rumah teres 1 tingkat. Yang ada hanyalah teres 2 tingkat dan sekarang makin banyak yang naik rumah 3 tingkat. Jadi di bandar , bukan sahaja masyarakatnya "busy" dalam rutin dan pekerjaan harian, malah dalam rumah juga stress. Stress dengan tangga yang bertingkat untuk ambil barang yang terlupa di bawa turun ke bawah atau lupa di bawa naik ke atas. Bertuah semenjak berpindah ke Melaka, saya berjumpa masih banyak lagi rumah teres 1 tingkat. Kata pemaju di Melaka, kami terpaksa menyediakan rumah teres 1 tingkat bagi menyediakan kuota rumah untuk bumi lot (syarat pembangunan dari majlis tempatan negeri melaka). Jika kami sediakan rumah 2 tingkat di Melaka, tiada bumi yang akan beli. Yang mampu kaum cina (kaum berniaga) dan orang luar (orang KL dan Singapore). 

Laundry / Sidai Baju


Gambar : carian Google

Berkenaan laundry ni saya agak kecewa bila ada pemaju yang ambil tidak kisah tentang perihal ini. Ada rumah yang dibina sampai hujung garisan lot tanah. Jadi di mana perlu penghuni menyidai pakaian? Itu yang ramai yang duduk di rumah teres menyidai pakaian di anjung hadapan. Tetamu luar yang datang pun boleh nampak pakaian dalam yang disidai masa mula melangkah masuk ke ruang anjung rumah. Manis kah?

Mungkin pemaju boleh sediakan ruang menyidai pakaian di bahagian belakang dengan tembok dan jaring/lubang angin agar menjaga privacy/aurat isteri tuan rumah misalnya ketika menyidai pakaian. Jika pergi ke rumah kenalan, ramai yang bagi feedback terpaksa sidai baju di dalam rumah, di kerusi-kerusi atau di kipas sebab nya di luar hujan. Jadi tembok yang berlubang angin ini boleh mencapai matlamat untk menyidai kain ketika hujan dan menjaga privacy penghuni ketika menyidai pakaian (tidak terlalu open)

Kenduri


Gambar : carian Google

Lagi satu trend masyarakat kita ialah membuat majlis dan kenduri di rumah. Tak kira lah majlis kahwin, majlis harijadi, majlis doa selamat, open house dan sebagainya, semuanya nak dibuat di rumah sebab lebih mesra dengan tetamu. Apa jadi bila buat majlis di rumah teres? Habis semua perabot rumah perlu disimpan di bilik-bilik atau perlu dikeluarkan ke anjung. Tuan Rumah perlu "kosong" kan ruang dalam rumah untuk tetamu duduk makan dan bertahlil misalnya.

Jika kita dah tahu trend masyarakat rumah teres ini, pemaju harus bijak merancang. Mungkin  adakan rumah 2 tingkat tetapi tingkat bawahnya jauh ke dalam tanah (lower ground) tingkat atasnya di atas tanah (ground floor). Jadi, jika ada majlis, ruang bawah tadi boleh digunakan. Ia ibarat dewan di dalam rumah. Jika tidak ada majlis mungkin ia parking kereta atau tempat bermain. Boleh tak? saya rasa tak ada yang mustahil :)

Landskap/Taman


Gambar : carian Google

Makin lama makin hilang seri hijau di rumah teres. Kalau dahulu boleh tanam pokok pisang dan serai di belakang rumah. Di depan pula boleh tanam pokok mangga. Sekarang, nak tanam rumput pun tak ada tempat. Habis semua di simen sahaja. Sebab apa? sebab keluasan tidak mencukupi untuk parking 2 buah kereta , minimum! Dulu setiap rumah satu kereta sahaja. 

Atas dasar itu, ada pemaju yang cuba bawa konsep "green " tadi kedalam rumah dengan cara sediakan "courtyard" (taman) di tengah-tengah rumah yang mengundang cahaya dan juga pengudaraan di tengah rumah. Ini adalah idea yang sihat. Saya sangat berharap banyak lagi idea-idea segar seperti ini dimajukan dalam pembinaan rumah teres. Bagi yang tak bertanah, bolehlah menanam pokok-pokok di dalam pasu dan susun ikut kreativiti. Jika dah bosan boleh susun cara lain pula.

Kejiranan

Ramai yang suka tinggal di rumah teres kerana kejiranan yang mesra dan rapat. Orang tua saya sendiri memilih untuk terus tinggal di rumah teres kami walaupun mampu untuk membeli rumah sebuah. Katanya, senang, jika ada emergency, jiran berderet boleh tolong. Memang betul. Yang penting kita kene pandai berjiran, rajin-rajin lah bertegur sapa. Bagi yang tinggal di apartment lebih kurang bergaul sosial dengan jiran berbanding yang tinggal di rumah teres.

Kejiranan yang hebat adalah bila mereka sama-sama bersepakat membuat sistem pondok keselamatan dan sistem gilir-gilir menjaga kerukunan dan keselamatan kejiranan mereka. (ini jika pemaju tidak menyediakan sistem gated/pak guard)

Akhir kata,Trend rumah teres bertingkat-tingkat sebenarnya adalah agenda pemaju untuk mengaut keuntungan lebih. Lagi tinggi lagi mahal harga rumah. Di bangi, rumah teres 2tingkat sudah mencecah harga RM600 ribu ke atas, 3 tingkat pula mencecah RM1 juta. Pembeli dan penghuni yang tiada pembantu rumah mula mengaku sukarnya hendak "mantain" penjagaan rumah yang bertingkat. Jadi apakah relevannya trend rumah teres sekarang?

Ok. Saya rasa dah terlalu panjang untuk satu entry ini. Mungkin saya akan tambah lagi info rumah teres pada masa akan datang. Terima kasih kerana membaca. Moga ada sedikit sebanyak info yang boleh dimanfaatkan bersama

Sekian,
Wassalam

//KHAIRUNNISA HAMZAHARA//

untuk tempahan rekabentuk 3D hiasan dalaman dan ubahsuai rumah boleh buat tempahan di sini : http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/p/galeri.html

untuk belajar hias rumah online, jemput masuk di sini :
http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/2013/06/belajar-hias-rumah-online.html

untuk belajar cara-cara asas membuat blog bagi penyampaian maklumat atau untuk tujuan peghebahan perniagaan boleh lihat di sini:
http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/2013/06/kelas-belajar-asas-membuat-blog-dan.html











Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LIKE OFFIAL FB KHAIRUNNISA HAMZAHARA

LIKE PAGE REKABENTUK 3D

LIKE PAGE PENULIS BEBAS DAN USAHAWAN ONLINE

LIKE PAGE BELAJAR BLOG ONLINE

LIKE PAGE HOMESTAY PENULIS

LIKE PAGE BUTIK MUSLIMAH PENULIS

LIKE PAGE WAHM SAHM SOHO