Thursday, 19 June 2014

Rekabentuk kediaman (rumah) berkonsepkan ciri-ciri islamik

Saya dihubungi oleh wartawan suratkhabar harian metro tentang senibina kediaman bercirikan islam. Berikut adalah jawapan saya:
(* tidak dibenarkan menggunapakai artikel ini tenpa kebenaran bagi mengelakan kekeliruan dan salah faham. hubungi penulis untuk sebarang pertanyaan)

1) Pada pandangan Puan, apakah yang dimaksudkan dengan konsep pembinaan rumah bercirikan Islam?

Bagi pendapat saya, konsep pembinaan rumah bercirikan Islam bermaksud pembinaan kediaman yang dibina dengan rekabentuk yang mengikut gaya kehidupan islam yang sebenar baik dari segi penghasilan ruangnya, penjagaan maruah dan aurat pemiliknya hinggalah kepada susunatur serta pembinaannya sendiri.

Ia bukan lah semata-mata tentang ornamen atau hiasan yang berorentasikan budaya "arab" semata. Ini kerana kebanyakan rekabentuk yang dikatakan "islamic" di reka dengan menggunakan ornamen dan objek yang di bawakan dari masyarakat arab. Namun, sebenarnya ia adalah lebih jauh dari sekadar ornamen. Yang menjadikannya islamik adalah kerana tujuannya yang betul dan ruang yang terbina mengikut adab serta menjaga maruah orang Islam itu sendiri.

2) Apakah ciri pembinaan rumah atau bangunan yang boleh dikatakan memenuhi ciri-ciri Islamic?

Sebenarnya rekabentuk yang bercirikan islam itu hadir apabila kita menekankan gaya hidup islam dalam kehidupan yang akan kita jalani dalam kediaman tersebut. Misalnya:

a) Gaya Hidup Solat berjemaah:
Sebuah bilik atau ruang disediakan untuk solat jemaah bersama. Ruang yang tercipta penuh ketenangan seperti mempunyai bukaan untuk peredaran angin dan udara segar serta menghadap pemandangan hijau seperti tumbuh-tumbuhan yang kemudiannya ditambah dengan bunyi deruan air air pancut. Kerana manusia apabila mendekati alam, maka secara tidak langsung akan mendekati penciptanya.

b) Gaya hidup menjaga aurat sesama keluarga
Bilik anak lelaki dan perempuan di asingkan. Bilik air pula terletak di dalam bilik bagi mengelakan terdedahnya aurat anak-anak mahupun ibubapa. Bilik ibu bapa terasing dari bilik anak-anak yang menigkat dewasa.

 c) Gaya hidup menjaga maruah
Mengasingkan ruang dan laluan tetamu dan penghuni rumah. Tetamu tidak dapat melihat dan menjangka aktiviti serta keadaan dalaman rumah pemilik. Ini kerana keadaan rumah yang menonjolkan peribadi pemilik terutamanya bilik air.

Ruang menyidai pakaian juga tertutup dan tidak dapat dilihat oleh orang luar. Ini kerana bukan sahaja kerana berpotensi menampakkan aurat isteri pemilik ketika keluar menyidai malah dari pakaian juga orang luar boleh menilai peribadi si pemakai terutamanya jika ada tersidainya pakaian dalaman.

d) Gaya hidup memuliakan tetamu
Tetamu adalah raja pada 3 hari pertama. Jadi ruang tetamu yang lengkap dengan bilik air disediakan untuk tetamu berehat tanpa bergabung dengan ruang keluarga.

e) Gaya hidup mendekati pencipta
Elemen air dan tumbuhan hijau mendekatkan pemilik dengan sang pencipta. Taman di luar dan juga taman di dalam menjadikan seseorang itu menjadi damai dan tenang. Pokok-pokok juga berzikir kepada tuannya. Setiap kali menyiram pokok, pemilik menerima doa kebahagiaan dari pokok peliharaannya .

f) Gaya hidup suci dan bersih
Binatang peliharaan tidak di bawa masuk ke rumah kerana dikhuatiri rumah tidak dimasuki malaikat apatah lagi jika najis nya berteraburan. Jika memelihara binatang peliharaan, maka disediakan kawasan pembelaan yang baik. Ini kerana rumah orang islam perlu bersih dan suci untuk perlaksanaan solat dan penjagaan wuduk setiap masa.

Kasut juga ditanggalkan ketika masuk ke rumah. Ketika memakai kasut pula perlu duduk dan membaca bismillah.

g) Gaya hidup menghormati kiblat
Tandas tidak dibina menghadap kiblat. Air paip pula di bina menhadap kiblat agar berwuduk sambil menghadap kiblat. Susunatur katil perlu disusun tidak menghalakan kaki ke kiblat. Dan lebih baik rumah berorentasikan menghadap kiblat agar mudah untuk solat dan beraktiviti dengan bertatasusila kerana setiap yang berlaku dan tersusun di rumah, menghormati kiblat sebaiknya. Wallahualam


3) Adakah kos untuk membina rumah atau bangunan bercirikan Islam ini menelan belanja yang lebih tinggi?

Sebenarnya jika kita telah merancang dari awal, ianya tidak ada isu tentang kos membina rumah atau bangunan bercirikan islam. Yang menjadikan kos nya lebih tinggi adalah apabila tiada perancangan teliti yang lebih awal di buat. Maka mungkin terjadinya penambahan kos apabila rekabentuk perlu dirombak semula atau ditambah kemudian.

4) Sejauh manakah pembinaan rumah dan bangunan di negara ini dilihat menepati ciri Islamic?

Alhamdulillah, kini pada pembinaan bangunan bagi kegunaan awam telah di lengkapi dengan musolla dan tempat berwuduk seperti di pusat membeli belah, lapangan kapal terbang, stesen bas, pasar dan sebagainya.

Di kawasan rehat (R&R) juga telah dibina surau dan tanda yang menepati adab-adab penjagaan aurat bagi orang islam terutamanya untuk wanita . Pintu masuk tidak dibina secara terbuka , ianya di kepung dengan tembok berhias. Cantik binaannya dan terpelihara aurat penggunanya.

Oleh kerana nilai Islam itu kini semakin dihayati oleh masyarakat malaysia, rata-rata pembinaan bangunan awam mula menepati konsep-konsep islam danlam perlaksanaan ruangnya.

Bagi pembinaan kediaman pula, ia agak berlainan. Rekabentuk yang disediakan oleh pemaju masih jauh lagi dengan rekabentuk yang menepati konsep islamik dalam pembinaan ruang serta tujuannya. Ini mungkin kerana pemaju di Malaysia kebanyakannya terdiri dari pemaju golongan bukan Islam dan mereka ketengahkan konsep minimalis yang jauh dari konsep privasi dan penjagaan aurat. Apatah lagi untuk menepati rekabentuk yang menepati gaya kehidupan berlandaskan syariat untuk kediaman.

Berlainan pula bagi kediaman yang di bina sendiri oleh pemilik. Kerana mereka mempunyai pilihan untuk merekabentuk kediaman mengikut konsep yang dipilih. Biasanya, bagi mereka yang ingin hidup dengan cara hidup islam, mereka pasti akan mengambil tahu tentang adab-adab di kediaman dan menghasilkan binaan yang menepati gaya hidup islam di dalamnya.

5) Jika rumah yang didiami sekarang tidak memenuhi ciri Islamic, apakah nasihat dan pandangan Puan kepada pemilik?

Tidak salah untuk mereka tidak memenuhi rekabentuk yang memenuhi ciri keislaman. Kerana islam tiada paksaan. Namun, ia merupakan bonus kepada mereka yang berusaha melaksanakan rekabentuk kediaman yang menepati ciri-ciri keislaman. Ini kerana kehidupan bermula dari rumah. Baik di rumah maka baiklah di luar. Apabila dari rumah lagi kita telah menjalankan kehidupan yang berkonsepkan islam dengan menjaga tatasusila serta memelihara aurat serta pergaulan, maka insyaallah kita akan menjadi orang yang bersahsiah tinggi.

Ini kerana di rumah lah yang biasanya seseorang melepaskan perangai "buruk" nya dan tidak kisah pelbagai hal lagi kerana kononnya di rumah orang lain tidak nampak apa yang kita buat. Namun sebenarnya kita telah sabotaj diri sendiri dan keluarga terutamanya anak kecil. Kerana anak kecil belajar tentang kehidupan bermula dari rumah.


6) Bagi masa akan datang, adakah Puan melihat pembinaan rumah bercirikan Islam ini akan meningkat permintaannya?

Insyaallah. Kemungkinan besar, dengan meningkatnya kesedaran tentang kehidupan yang berlandaskan syariat Islam, masyarakat kita terutamanya umat Islam sudah mula mencari rekabentuk ruang yang bercirikan islam. Tak kira dari pejabat, kedai, sekolah hinggalah ke rumah, mereka mahu gaya dan konsep islam di terapkan agar mereka dapat menjalani gaya kehidupan yang penuh islamik.

7) Adakah wajib bagi umat Islam itu sendiri membina rumah atau membeli rumah yang mempunyai ciri Islamic?

Seperti yang telah kita bincangkan tadi, tiada paksaan dalam Islam. Islam tidak memaksa seseorang untuk melaksanakan sesuatu. Namun adalah bonus pada diri seseorang jika dapat melakukan keseluruhan dari gaya dan aktiviti harian mengikut cara Islam kerana ia akan menjadikan seseorang itu lebih menghayati agama Islam itu sendiri. Kerana amalan lah yang menjadikan seseorang itu baik atau buruk. Dan ia bermula dari kediaman.


Jika mampu, binalah kediaman yang bercirikan gaya hidup islam. Jika hanya mempunyai kediaman yang rekabentuknya telah disiapkan oleh pemaju, tidak salah untuk mengubahnya semula asalkan mengikut undang-undang seperti menghantar cadangan perubahan pelan rumah ke majlis tempatan jika ianya melibatkan perubahan struktur bangunan terutamanya bagi rumah teres (berkongsi dinding dengan jiran)

KHAIRUNNISA HAMZAHARA
Senibina Kehidupan Di Rumah

4 comments:

ieza ashaari said... [Reply to comment]

Kalau berkemampuan, dapatlah bina rumah idaman. Pandangan yang sangat-sangat menarik.

mama alya said... [Reply to comment]

Suka sgt idea rmh mcm ni...mmg setuju sgt..terutamany bab mjaga maruah dan tetamu tu..thanks puan

Khairunnisa Hamzahara said... [Reply to comment]

sama-sama. mana yang baik kita kongsikan bersama :)

Princess UMNIAH Collections ~ Online Muslimah Fashion said... [Reply to comment]

Saya sangat bersetuju dengan Puan. Terima kasih diatas maklumat yang diberikan.

Post a Comment

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LIKE OFFIAL FB KHAIRUNNISA HAMZAHARA

LIKE PAGE REKABENTUK 3D

LIKE PAGE PENULIS BEBAS DAN USAHAWAN ONLINE

LIKE PAGE BELAJAR BLOG ONLINE

LIKE PAGE HOMESTAY PENULIS

LIKE PAGE BUTIK MUSLIMAH PENULIS

LIKE PAGE WAHM SAHM SOHO