NUFFNANG

Friday 16 May 2014

Ruang Keluarga ( Family Area ) Melahirkan Ikatan Erat

Teks: khairunnisa hamzahara



Assalammualaikum

Rasanya lama sangat saya tak berkongsikan tips tentang ruang di dalam blog ini. Baru-baru ini saya sekeluarga menghabiskan masa melancong sambil menyampaikan ilmu branding dari Selatan hingga ke Utara Semenanjung Malaysia. Sekembalinya dari sesi sebaran ilmu ini, saya membuat keputusan untuk menghadiahkan pakej percutian kepada ahli keluarga kecil saya yang sama-sama berpenat dan bersusah dalam sesi sebaran ilmu yang lalu. Anak kecil yang baru berusia 3-5 tahun sudah faham akan tugas dan tanggungjawab mommy nya berkongsi ilmu dengan masyarakat walau mommy merupakan Ibu sepenuh masa di rumah.

Minggu ini kami baru kembali dari bercuti di Legoland Hotel dan Legoland theme park. Seronok rasanya menghabiskan masa bersama keluarga. Tak sabar saya nak buat entry khas tentang percutian ke Legoland ini terutamanya di Legoland Hotel. Nantikan Ya. InsyaAllah, semoga keakraban kekeluargaan ini akan berkekalan sehingga anak-anak meningkat dewasa. Sekembalinya saya ke rumah, tercetusnya idea untuk berkongsikan tentang Ruang Sillaturrahim yang perlu ada dalam setiap kediaman kita.

Jauh Hati



Masa berlalu dengan pantas. Dunia semakin canggih dan berteknologi tinggi. Ibu bapa berkejaran ke tempat kerja dan urusan perniagaan. Anak-anak yang belum bersekolah mungkin di jaga oleh pembantu rumah, pengasuh , jagaan taska atau orang tua masing-masing. Anak-anak yang bersekolah pula transit sebentar di pusat taska atau pandai menguruskan diri sendiri di rumah sebelum ke sesi persekolahan seterusnya. Setiap hari mereka menjalani rutin yang sama. Hanya mengharapkan ada hujung minggu yang seronok untuk bersama. Itupun jika masing-masing dapat meluangkan masa.

Jika seorang ayah terus sibuk bekerja, seorang ibu juga terus sibuk berurusan di luar, anak-anak kemungkinan akan mula berjauhan hati dengan kedua ibu bapanya. Apabila ini tercetus di hati mereka, besar kemungkinan ada juga jurang antara adik beradik dan sukar untuk bertegur sapa. Oleh yang demikian, rumah bukanlah lagi satu tempat yang menyeronokkan anak-anak yang sedang membesar dan sukar memahami "perjuangan" kedua ibu bapanya.

Punca Kerenggangan Keluarga


Rumah yang besar atau rumah yang kecil bukanlah faktor utama wujudnya kerenggangan hubungan sesebuah keluarga. Ia bermula dari satu perkara kecil yang mula diabaikan dan seterusnya akan berlaku pengabaian kepada perkara-perkara lain pula. Di sini saya suka kongsikan antara punca kerenggangan keluarga yang biasa kita anggap ia adalah aktiviti normal di rumah:

a) Aktiviti Di Rumah
- anak-anak menghabiskan masa bermain dengan rakan-rakan
- anak-anak gemar bermain dengan gadget pintar seharian
- internet menjadi rakan kepada anak-anak
- ibu pula sibuk di dapur atau menonton tv di biliknya
- ibu juga gemar menghabiskan masa berjumpa dengan rakan-rakan bisnes
- ayah sibuk membuat kerja di depan laptop di dalam biliknya
- ayah juga akan menghabiskan masa menelefon pelanggan atau rakan niaganya

b) Ruang Di Rumah
- setiap anak ada bilik khas masing-masing
- setiap bilik pula ada bilik air khas masing-masing
- tv diletakkan pada setiap bilik
- dan setiap bilik juga dilengkapi dengan rak buku serta aktiviti/permainan masing-masing
- bilik anak-anak di tingkat atas
- manakala bilik ibu bapa di tingkat bawah

Jadi, jika diteliti senarai (a) dan (b) di atas, bila dan di mana harus berlaku pertembungan antara anak-anak, ibu dan bapa? Masing-masing mempunyai agenda, aktiviti dan ruang masing-masing. Sememangnya kita ingin memberikan keselesaan kepada setiap ahli keluarga namun keselesaan yang melampau menyebabkan kerenggangan dan mementingkan diri masing-masing. Ia merupakan keselesaan yang memakan diri setiap orang di dalam kediaman tersebut.

Ruang Keluarga ( Sillaturrahim )

Bukan saya seorang saja yang mencadangkan agar setiap rumah di bina satu ruang keluarga untuk bersilaturrahim, malah ia telah di aplikasikan oleh masyarakat barat sejak dahulu lagi. Masyarakat barat merupakan antara masyarakat yang telah maju ke depan di mana mereka telah melalui proses kejatuhan dan keruntuhan nilai kekeluargaan. Mereka telah membina semula struktur kekeluargaan dan mengwujudkan pelbagai aktiviti dan ruang yang boleh membantu meneruskan keakraban dan menjalin hubungan kekeluargaan yang berpanjangan. 

Apakah jenis ruang keluarga yang boleh kita wujudkan dan apa pula aktiviti yang boleh dilakukan bersama? Mari saya bantu buka kan minda, mungkin ini adalah di antara yang boleh dilakukan, namun saya pasti setiap keluarga akan mempunyai aktiviti dan hobi yang khusus yang boleh dijalankan bersama :

Ruang Menonoton

Wujudkan ruang menonton khas di mana setiap bilik tidak lagi dilengkapi dengan TV. Jika mahu menonton, perlu menonton di ruang yang di khaskan. Buatkan jadual menonton di mana jika ahli keluarga ramai, buatkan hari dan masa untuk setiap ahli memilih rancangan TV mereka. Yang lain perlu hormat dan menonton rancangan TV yang dipilih oleh ahli yang memperoleh giliran pada hari dan masa tersebut. Di sini ia mewujudkan sifat bertoleransi dan setiap orang memahami karakter serta citarasa satu sama lain melalui jenis rancangan yang gemar di tonton. Di sini bukan sekadar keakraban malah lebih memahami antara satu sama lain

Ruang Membaca 

Satu sudut khas disediakan sebagai ruang membaca seperti novel, majalah, suratkhabar dan bahan pembelajaran. Apabila satu ruang khas disediakan untuk membaca bersama, ia memungkin berlakunya pertukaran info dan sesi diskusi terhadap hasil pembacaan secara tidak langsung antara satu sama lain. Ia mewujudkan keeratan satu sama lain dan adanya unsur komunikasi.

Perpustakaan Mini

Kumpulkan setiap bahan bacaan dari setiap ahli keluarga di dalam satu bilik atau ruang khas yang dipanggil perpustakaan mini. Di sini hasilkan rak yang di kategori kan melalui kategori khas jenis penulisan dan isi kandungan buku dan juga di asingkan mengikut hak pemilikan. Di mana buku abang di rak abang, buku kakak di rak kakak. Apabila si adik ingin meminjam buku abang, si adik akan memohon keizinan abang dan menjaga buku si abang dengan baik. Si adik pula mula masuk ke minda abang dan mula fahami apakah jenis bahan bacaan dan ilmu di minda abang. Adik mungkin jadi lebih memahami abang, dan abang pula memahami si adik apabila melihat jenis bahan bacaan adik. Saling faham memahami menjadikan hubungan adik beradik lebih baik. Ibu bapa juga mula fahami karakter anak apabila melihat jenis buku yang ada di perpustakaan mini ini mengikut pemilikan masing-masing.

Ruang Komputer

Sebaiknya usahalah asingkan penggunaan komputer ke ruang terbuka yang boleh di akses oleh semua ahli keluarga. Ini dapat mengelakkan dari berlakunya penyalahgunaan internet yang sangat mudah dilakukkan, hanya sekali klik saja, anak-anak sudah boleh akses ke satu laman sosial yang boleh memburukkan tingkah laku anak-anak kita. Cegah sebelum terlambat. Sebaiknya ibu bapa set kan kata laluan khas, apabila anak-anak ingin menggunakan komputer, perlu minta izin ibu bapa dan ibu bapa masukkan passwordnya dan set kan masa berapa lama saja mereka boleh menggunakannya bagi tujuan mendapatkan info atau menyiapkan tugasan pembelajaran mereka.

Ruang Belajar

Belajar bersendirian mungkin akan menyebabkan rasa mengantuk atau "stress". Ciptakan satu ruang belajar khas di mana, setiap anak akan berkumpul pada masa yang sama. Jika ini dapat dilakukan, si abang dan membantu si adik dalam menyiapkan tugasan. Ibu bapa juga boleh masuk campur dengan memberikan galakan dan tunjuk ajar bersama. Ia memberikan masa yang berkualiti dan memberikan rangsangan positif kepada anak-anak kerana rasa disayangi dan ibu bapa mengambil berat tentang kemajuan diri mereka.

Ruang Permainan Minda

Jadikan satu ruang untuk bermain. Jika ada anak kecil, susunkan barang-barang mainan mereka secara kreatif agar mereka gemar untuk bermain dan "explore". Bagi anak-anak yang besar dan dewasa, perbanyakkan mainan minda di sudut ini. Susun dengan kemas dan boleh diambil dengan mudah jika ingin bermain bersama. Di sini bukan saja adik beradik dapat meluangkan masa bersama, ibu bapa juga boleh turut serta bermain. Permainan yang dimaksudkan adalah seperti "chess", "cluedo", "snacks", "otello", dam haji, teka silang kata dan sebagainya.

Ruang Bermain Snooker

Jika ada rezeki, boleh dapatkan set bermain snooker di rumah. Ia bukan saja digemari oleh anak lelaki dan ayahnya, malah boleh juga di cubai oleh si ibu dan anak perempuan. AKtiviti aktif dan penuh pergerakkan ini boleh menyebabkan satu ahli keluarga riang gembira sambil berusaha untuk menang dan mencipta strategi.

Ruang Muzik

Jika sesebuah keluarga itu miminati muzik pula, himpunkan alat muzik di satu ruang khas, dan mungkin boleh bermain bersama untuk memainkan lagu kegemaran masing-masing. DI sini, setiap ahli keluarga tahu lagu apakah kegemaran masing-masing. 

Ruang Beribadah

Jadikan kebiasaan menjalankan ibadah bersama. Ia adalah satu aktiviti yang paling mujarab dan berkesan dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Si ayah atau si abang menjadi imam untuk solat bersama. Ibu dan adik beradik perempuan mengikut di belakangnya. Ini secara tidak langsung menjadikan anak-anak dan isteri lebih menghormati suami, anak perempuan pula lebih menghormati adik beradik lelaki. Manakala adik beradik lelaki lebih menyayngi dan bersifat melindungi adik beradik perempuannya. Apa pun ia akan kembali semula kepada agama di mana kehidupan berlandaskan agama Islam akan membungakan kebahagiaan dan kemesraan dalam kekeluargaan. Jadikan juga ruang ini untuk sama-sama semak bacaan Al-Quran dan berkongsi kisah tauladan serta hadis setiap minggu.

Mini Bar

Di bahagian dapur dan ruang makan, wujudkan satu mini bar di mana ia boleh di duduki secara santai untuk berborak sambil menikmati minuman ringan dan makanan ringan bersama. Ia secara tidak langsung menjadikan "port" untuk anak-anak bercerita pada ibu yang sedang memasak apa yang berlaku di sekolah tadi dan si ayah juga boleh turut serta. Walaupun kecil namun ruang ini amat bermakna sebagai kaunter persinggahana setelah pulang ke rumah atau beraktiviti di luar. Untuk tambahkan keberkesanannya, letakkan peti sejuk bersebelahan kerena pasti masing-masing gemar datang dan buka peti sujuk untuk mencari minuman kegemaran dan snack yang boleh di kunyah.


Ruang Berehat

Ruang berehat adalah ruang yang paling effisen dalam banyak-banyak ruang. Ruang ini menjadi tempat persinggahan setap ahli sebelum ke bilik masing-masing. Ia boleh menghimpunkan kesemua aktiviti di atas ke dalam satu ruang khas ini. Ia sangat berkesan jika mempunyai rumah yang kecil. Dalam satu ruang ini padat dengan aktiviti dan kelengkapan. Sambil berehat, boleh menonton, boleh membaca, boleh berborak, boleh belajar, boleh bermain dan sebagainya.

Taman Mini

Jika mempunyai lebihan tanah di luar rumah, wujudkan taman mini yang dilengkapi dengan kerusi dan meja santai untuk anak-anak dan ibu bapa berborak sambil menikmati angin luar. Kelilingkan kawasan ini dengan pokok-pokok hijau dan bunga yang mengeluarkan bau yang wangi. Letakkan bumbung atau teduhan seperti pokok rimbun atau pergola bagi menyejukkan ruang ini.  Jika mempunyai halaman yang besar boleh dilenkapkan dengan kolam ikan atau kolam renang untuk aktiviti keluarga bersama.



Alhamdulillah, banyak sudah ruang yang kita sebenarnya boleh hasilkan bagi memastikan keberlangsungan komunikasi dan aktiviti sesama keluarga. Saya doakan agar setiap kita berjaya menghasilkan aktiviti dan ruang keluarga di kediaman masing-masing agar keakraban seisi keluarga terus berlangsung dan membuahkan kebahagiaan dalam hubungan kekeluargaan. Kebahagiaan bermula dari rumah. Masih belum terlambat. Usahakan lah melakukannya. InsyaAllah kebahagiaan akan datang apabila usaha yang bersungguh dilakukan. Sampai di sini dahulu, berjumpa lagi kita di lain kali. Jazakallah

Khairunnisa Hamzahara
Senibina Kehidupan Di Rumah
Pengasas
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dapatkan Ebook Panduan Kediaman Pertamaku dan Ebook Rahsia Teknik Branding Untuk Diri dan Perniagaan dengan Penulis Blog melalui email : khairunnisahamzahara@gmail.com

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LIKE OFFIAL FB KHAIRUNNISA HAMZAHARA

LIKE PAGE REKABENTUK 3D

LIKE PAGE PENULIS BEBAS DAN USAHAWAN ONLINE

LIKE PAGE BELAJAR BLOG ONLINE

LIKE PAGE HOMESTAY PENULIS

LIKE PAGE BUTIK MUSLIMAH PENULIS

LIKE PAGE WAHM SAHM SOHO