Teks : khairunnisa hamzahara
Dalam banyak-banyak ruang, ruang yang paling diberikan perhatian lebih adalah ruang tamu. Sebab itu tidak hairanlah jika ramai yang sanggup berbelanja lebih untuk menghasilkan ruang tamu yang boleh memberikan kepuasan dan kebanggaan buat si tuan rumah. Ruang tamu adalah ruang yang pertama di jejaki oleh kebanyakkan kediaman di Malaysia. Ia berbeza dengan kediaman di luar negara di mana kebanyakkannya pintu masuk akan melalui ruang makan terlebih dahulu.
Oleh kerana ia merupakan ruang utama yang diberikan tumpuan dan perhatian, seawal memiliki kediaman pertama, ramai yang berasa teruja untuk membeli perabot dan perhiasan yang terbaik mengikut kemampuan mereka untuk melengkapkan penataan ruang tamu mereka. Tidak kurang juga yang sanggup berbelanja lebih di luar kemampuan sehingga berhutang atau menggunakan skim ansuran bulanan. Oleh yang demikian, bagi mengawal keghairahan ini, saya ingin berkongsikan 3 tips dalam menghias ruang tamu agar dijadikan panduan sebelum tersasar dan kecewa setelah berbelanja besar untuk ruang tamu ini sahaja.
1. MENENTUKAN PENAMPILAN
Sebelum ianya menjadi rojak kerana seronok membeli di kedai sana dan di kedai sini apabila melihat SALE di sana sini, lebih baik jika kita tentukan dahulu GAYA & PENAMPILAN yang sesuai yang ingin diketengahkan pada ruang tamu ini. Mari saya berikan sedikit idea berkenaan GAYA & PENAMPILAN:
PENAMPILAN:
Sebaik tetamu melangkah masuk untuk berurusan atau melawat tuan rumah, PENAMPILAN ruang tamu ini akan memberikan satu signal yang memberitahu kepada tetamu untuk bagaimana perlu berinteraksi di ruang tersebut. Cuba kita lihat contoh PENAMPILAN ruang tamu dan interaksi tetamu terhadap penampilan ruang ini.
Mewah : Ia menampilkan penampilan tuan rumah yang berfikiran dan berperwatakan mewah dan elegant. Oleh itu tetamu juga perlu beradab dan menghormati susunatur dan kelengkapan di dalam ruang tamu di kediaman tersebut.
Ringkas : Ia menampilkan penampilan tuan rumah yang suka berurusan secara mudah dan tidak serabut. Ia juga menjadikan tetamu berinteraksi secara langsung dan tidak meleret kepada perkara lain.
Professional : Ia menampilkan penampilan tuan rumah sebagai seorang yang berfikiran dan suka berurusan secara professional. Oleh itu secara tidak langsung tetamu juga akan berkomunikasi secara baik dan menghormati tuan rumah dan persekitarannya.
Santai : Ia menampilkan penampilan tuan rumah yang tidak cerewet dan mudah didekati. Suasana santai memberikan kebebasan untuk tetamu berinteraksi dengan tuan rumah dan persekitaran ruang. Kebiasaan susunan perabot dan perhiasaannya memberikan keselesaan buat tuan rumah dan pengunjung. Namun perlu berhati-hati kerana ia mungkin akan memberikan masalah kepada si tuan rumah untuk mengemas semula ruang jika terlalu berlebihan beraktiviti bersama tetamu di ruang ini (bersepah)
Penampilan yang dipilih ini kebiasaannya adalah mengikut sifat peribadi si tuan rumah. Dengan mengetahui penampilan yang ingin diketengahkan ia akan memudahkan untuk ke langkah seterusnya iaitu dalam pemilihan gaya dan perabot yang sesuai.
2. PILIH & FOKUSKAN GAYA RUANG TAMU
Setelah memilih penampilan yang sesuai, pilih dan fokus pula kepada gaya yang ingin dicipta pada ruang tamu ini. Gaya sangat memainkan peranan untuk memberikan "mood" di ruang tamu. Ia juga sangat membantu tuan rumah ketika ingin membeli perabot dan perhiasan kerana ia sudah mengecilkan skop dalam pemilihn jenis gaya perabot dan perhiasan yang perlu dipilih. Yang terbaik adalah pemilihan satu gaya sahaja. Jika sudah pandai berurusan dengan gaya barulah boleh mencampurkan 2-3 gaya dalam satu ruang. Antara gaya yang dimaksudkan adalah seperti berikut :
Gaya Moden : Kemas dan Bersih (Clean Cut). Perabot dan perhiasan yang digunakan bersifat secara langsung dan tidak ada hiasan atau ukiran yang berlebihan. Ia hanya mengikut garisan keperluan mengikut fungsi dan keperluan. Hanya satu atau dua sahaja elemen yang ditimbulkan dalam satu ruang
Gaya Traditional dan klasik: Ia kebanyakannya menggunkan elemen kayu terutamanya pada perabot. Rekaan dan ukirannya mengikut etnik kaum tertentu.
Gaya Inggeris: Kebanyakkan perabot dan perhiasan Inggeris banyak menggunakan hiasan bunga-bungaan dan warna putih menjadi warna asas dan warna latar belakang
Gaya Kedesaan: Gaya kedesaan pula banyak mengguna pakai perabot dan aksesori yang melibatkan anyaman dan hasil kraft
Gaya Tropikal: Ciri-ciri gaya tropikal adalah menggabungkan perabot dan perhiasan ruang dengan pokok-pokok hijau yang menyegarkan. Ia juga menggabungkan elemen seperti air, batu , kayu dan tumbuh-tumbuhan hijau.
Gaya Timur Tengah: menampilkan perabot dan perhiasan yang "warm" dan disantuni dengan corak-corak dari timur tengah yang bewarna terang seperti unggu, merah hati, dan kuning keemasan.
Dan banyak lagi gaya yang boleh diketengahkan. Pemilihan satu gaya yang kukuh menjadikan ruang tamu yang dibina menjadi harmoni dan sedap mata memandang. Tanpa pemilihan gaya yang sesuai , ia akan menjadikan ruang tersebut menjadi serabut dan tidak keruan.
3. MENGENALPASTI AKTIVITI RUANG DAN FUNGSI PERABOT
Sebelum membeli belah perabot ruang tamu, "wajib" untuk kita mengenalpasti terlebih dahulu apakah fungsi dan peranan perabot itu nanti? Kita perlu limitkan perabot yang perlu ada untuk ruang tamu ini. Elakkan membeli tanpa perancangan. Di sini saya kongsikan sedikit contoh untuk mengenalpasti fungsi dan peranan setiap perabot di ruang tamu . Sebelum itu, kita perlu kenalpasti dan senaraikan aktiviti yang akan dijalankan di ruang ini terlebih dahulu kemudian fikirkan perabot yang diperlukan bagi melengkapi aktiviti ini.
AKTIVITI - FUNGSI PERABOT
Duduk santai - Dapat merehatkan, boleh duduk secara santai, boleh sandarkan kepala
Boleh baring, Boleh lunjurkan kaki
Minum petang - Boleh dihidang makanan ringan dan air, mudah di alih/ringan, bersaiz kecil
dan boleh dipisahkan atau perlu bersaiz besar
Berurusan dengan tetamu/pelanggan secara formal - Boleh berbincang dan buka dokumen
Membaca dan membelek gambar keluarga - boleh menyimpan dan pamerkan buku & album
Dan buat lah begitu untuk yang seterusnya. Insyaallah dengan menggunakan ketiga-tiga tips ini kita akan berjaya menghasilkan ruang tamu yang menepati citarsa dan fungsi nya berperanan seperti yang kita mahukan. Namun sebenarnya masih ada beberapa tips yang ingin saya kongsikan , oleh itu, saya muatkan tips-tips yang lain dalam Ebook Sulung saya iaitu Panduan Kediaman Pertamaku. Bagi yang ingin mengetahui tips-tips yang lain untuk kediaman pertam kali dimiliki, boleh lah dapatkan ebook ini untuk mengetahui tips selanjutnya. Insyaallah sedikit sebanyak dapat membantu anda yang perlukan pertolongan idea dan tips dalam menata rias.
Sampai di sini dahulu. Sekian, wassalam
Khairunnisa Hamzahara
Senibina Kehidupan Di Rumah
Untuk tempahan rekabentuk kediaman atau hiasan dalamannya, boleh masuk ke laman ini: http://rekabentuk3donline.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment