Teks: Khairunnisa hamzahara
Ada yang mengeluh bila mendapat panggilan bahawa ada tetamu yang bakal datang berkunjung ke rumah. Apatah lagi ketika itu sedang berseronok bermain dan bersantai bersama keluarga di rumah di hujung minggu yang indah. Bagi yang kurang ilmu sosial , pelbagai alasan cuba diberikan kepada tetamu yang buat panggilan sebelum datang ke rumah. Lebih parah lagi, ada yang sanggup keluar meninggalkan rumah dan pergi ke tempat lain seperti pusat membeli belah dan taman rekreasi bersama keluarga semata-mata bagi menghindarkan diri dari menerima kunjungan tetamu tadi di rumah. Ada juga yang sanggup menutup pintu dan lampu seolah-olah rumah tidak berpenghuni. Untuk kes yang sedemikan, apa yang saya boleh katakan adalah RUGI!.
Rugi bagi sesiapa yang menghindarkan diri daripada menerima kunjungan tetamu di rumah. Tetamu hadir membawa REZEKI. Rezeki yang macam mana? Jangan pernah kita persoalkan. Itu semua kita serahkan kepada Allah yang maha Adil lagi Maha Penyayang. Apabila kita mengetahui konsep dan sifir rezeki ini, sepatutnya kita lebih ghairah untuk menerima kunjungan tetamu tidak kira waktu dan masa. Namun sebaiknya setiap orang menghormati waktu tuan rumah sebelum datang berkunjung. Oleh yang demikian, kita boleh bersiap sedia menerima kunjungan tetamu dengan menyediakan ruang untuk tetamu secara berperingkat mengikut kategori tetamu yang berkunjung. Tetamu pun ada kategorinya? Ya, kita perlu jelas dalam mengkategori kan tetamu yang hadir ke rumah.
4 KATEGORI TETAMU
1. Tetamu Asing
2. Tetamu Kurang Kenal
3. Tetamu Mesra
4. Tetamu Rapat
1.TETAMU ASING
"Assalammualaikum, kak. Nak beli keropok?" tanya seorang wanita di luar pagar. Nah, itu pun tetamu asing datang di hadapan rumah kita. Jangan mudah untuk kita menghalau pergi atau membuat "bodoh" saja tanpa melayan mereka yang datang menyapa, bertanya dan meminta di hadapan rumah kita. Mereka juga adalah manusia sama seperti kita. Lantas apa yang boleh kita lakukan apabila menerima tetamu sebegini?
RUANG UNTUK TETAMU ASING
Menyiapkan sekurang-kurangnya bangku tempat duduk di luar pagar. Jadi jika kita khuatir sekalipun untuk membuka pagar, kita boleh bercakap di dalam pagar sambil tetamu tadi duduk di bangku yang disediakan. Bukankah kita telahpun memuliakan tetamu itu tetapi disebabkan faktor tidak mengenali dan berhati-hati di zaman yang penuh dengan tragedi dan jenayah ini, kita terpaksa melayan tetamu tersebut dari luar pagar rumah sahaja. Lebih baik lagi jika kita boleh menyediakan pondok atau wakah kecil di luar rumah, jadi bolehlah tetamu asing tadi duduk berehat dan bertedur seketika. Sementara itu, kita boleh ambilkan segelas air dan roti atau kuih untuk dijamahnya. Kita bertuah jika diakhir sesi, tetamu tadi mengangkat tangan menadah ke langit dengan berdoa :"Ya Allah, kau limpahkanlah rumah ini dengan rahmatmu"
2.TETAMU KURANG KENAL
Bagaimana pula kita kategori kan tetamu yang kurang kenal. Ia seperti tetamu yang kita tahu siapa dia, dari mana datangnya tetapi kita sendiri kurang rapat mungkin kerana baru berkenalan atau baru nak kenal. Ia seperti sesi suai kenal yang belum habis lagi. Mungkin dia merupakan ajen yang kita baru lantik untuk urusan jual beli atau mungkin juga dia merupakan pengedar barang yang datang ke rumah untuk berbincang. Pendek kata, tetamu di dalam kategori ini hadir ke rumah dengan ada tujuan tertentu atau urusan tetapi ia tidak dikenali oleh keluarga dan tiada pertalian lain melainkan tentang urusan yang baru. Apa yang kita boleh sediakan untuk tetamu dalam kategori ini?
RUANG UNTUK TETAMU KURANG KENAL
Bagi menghormati tetamu seperti ini, kita sediakan ruang untuk berurusan tetapi tidak semestinya perlu masuk ke rumah. Ini kerana tetamu yang kurang kita kenali sebegini, selalunya ia datang berkunjung secara "ad-hock" iaitu dengan tiba-tiba. Misalnya tiba-tiba telefon berdering , bila kita menjawab panggilan tersebut, kata si pemanggil ; "Kak, saya dah ada kat depan rumah akak tau". Mungkin kita saat dia hadir ke rumah, rumah kita sedang dalam keadaan "tidak bersedia" menerima kunjungan tamu (bersepah). Cara yang bijak ialah kita menjadikan halaman rumah atau anjung rumah sebagai ruang untuk menerima tetamu yang kurang kita kenali. Cukup dengan menyediakan bangku taman dan meja kopi taman. Untuk lebih menarik dan mencipta suasana, kita boleh melengkapkan dengan tumbuhan dan elemen air seperti kolam ikan dan air pancut. Mungkin ia boleh mendamaikan perbincangan yang agak serius. Ada juga yang gemar untuk meletakkan pondok atau wakaf di halaman rumah sekiranya halaman rumah luas. Jika ada pondok dan wakaf ini, kita boeh turut jadikan tempat untuk tetamu kurang kenal ini bersolat di sini jika dia sudah kesempitan waktu untuk menunaikan solat fardu disaat berurusan. Bagi memudahkan tetamu ini lagi, siapkan pili air bersebelahan pondok untuk berwuduk. Besarlah ganjaran pahala apabila si tetamu tadi berkata " Syukur saya sempat solat. Terima kasih ya tumpangkan saya solat". Ini bermakna kita telah memudahkan urusan solat seorang tetamu.
3.TETAMU MESRA
Tetamu mesra ini adalah tetamu yang kita sudah biasa bergaul misalnya jiran tetangga, sahabat handai, kenalan suami atau kenalan isteri dan yang seumpama dengannya. Untuk tetamu yang mesra, kita perlu melayan dengan mesra yang boleh. Biarlah mereka berasa istimewa apabila berkunjung ke kediaman kita. Tidak perlu menghidang segala bagai jika tidak ada apa untuk dihidang tetapi cuba sebaik mungkin. Mungkin kita boleh hidang air dan kuih atau apa sahaja yang boleh dihidang. Memuliakan dan melayan tetamu akan mendapat ganjaran di sisi Allah walaupun tetamu tersebut sememangnya kerap berkunjung ke rumah atau setiap hari datang ke rumah. Selalunya apabila telah kerap menerima kunjungan tetamu yang sama, kita leka dan lupa untuk melayan tetamu tersebut. Bagi menjadikan dia dimuliakan, cukuplah dengan menghidangkan air dan pemanis mulut setiap kali dia datang bertandang.
RUANG UNTUK TETAMU MESRA
Ruang yang dimaksudkan untuk tetamu di kategori mesra dengan penghuni rumah ialah Ruang Tamu yang biasa diadakan oleh setiap kediaman. Di mana di ruang ini dilengkapkan dengan kelengkapan seperti sofa, meja kopi dan rak TV. Suasana dan perhiasan yang di lengkapkan di ruang ini dirancang mengikut konsep dan citarasa yang digemari oleh penghuni. Rekaletak perabot pula dirancang mengikut aktiviti yang telah di aturkan di ruang ini. Misalnya jika penghuni inginkan situasi yang riuh dan aktif di ruang ini, dia boleh meletakkan Television untuk di tonton sama dengan tetamu dan turut diletakkan sekali dengan kelengkapan aktiviti lain seperti permainan video, catur, piano, album gambar dan yang seumpama dengannya. Berlainan pula bagi penghuni yang tidak suka kan suasana riuh rendah tetapi utamakan kesopanan dan ketenangan. Penghuni sebegini akan lebih selesa mereka ruang tamu tanpa meletakkan Television dan sofa diletakkan saling menghadap untuk melancarkan komunikasi dua hala penghuni dengan tetamu yang datang tanpa gangguan aktiviti lain. Pendek kata, ruang tamu ini adalah cara kita melayan tetamu. Bagi yang memahami konsep melayan tetamu, dia pasti akan sediakan yang terbaik untuk keselesaan dan kegembiraan tetamu di saat berkunjung ke rumahnya kerana apabila tetamu berasa gembira dari masa datang sehingga pulang, tuan rumah akan mendapat ganjaran pahala kerana melayan tetamu sebaiknya.
4.TETAMU RAPAT
Kategori terakhir adalah kategori Tetamu rapat. Tetamu rapat ini adalah tetamu yang ada pertalian dengan penghuni rumah. Contohnya ibu mertua, adik beradik, saudara mara, rakan baik dan yang seumpama dengannya. Apabila mendapat perkhabaran bakal dikunjungi oleh mereka, kita sebaiknya menyediakan rumah dalam keadaan yang paling baik di mana menutupi segala kekurangan dan aib keluarga kerana mereka berkemungkinan akan menjelajah dan menggunapakai keseluruhan ruang yang ada di kediaman kita. Untuk juadah, siap siaga menyiapkan juadah yang sesuai. Untuk kediaman, kemas sebaiknya dan bersihkan apa yang patut. Selalunya, ini lah saat untuk membersih dan menyempurnakan rumah jika ada perkara yang ditangguhkan untuk buat pada sebelum itu. Kita wajib melayan tetamu ini dengan istimewa selama 3 hari 3 malam. Selepas itu, kita boleh mula melayan seperti biasa dan diharap tetamu ini boleh mengikuti rutin kita di kediaman pula. Ganjaran bagi yang memuliakan tetamu selama 3 hari 3 malam sangat besar ganjarannya di sisi Allah dan selagi mereka di rumah kita,dan kita ikhlas menerimanya, kita akan dilimpahkan dengan rezeki yang tidak disangka. Sungguh tetamu itu membawa rezeki. Tapi ingat, kita perlu ikhlas menerima kunjungan mereka.
RUANG UNTUK TETAMU RAPAT
Bagi tetamu yang rapat, bukan sahaja mereka meneroka dari awal masuk ke pintu pagar, malah mereka kemungkinan akan menggunakan bilik air dan bilik tidur sekali. Jadi kita perlu bersedia mengemas dan membersihkan dari pintu pagar sampailah ke bilik dan bilik air. Ini kerana kemungkinan ada yang akan tinggal untuk beberapa malam dan menggunakan bilik air dan bilik tidur. Untuk makan malam dan seumpamanya, pasti mereka juga akan masuk ke dapur. Jadi kita perlu kemaskan setiap ruang di kediaman. Sediakan juga sebuah bilik tamu bagi mengelakkan terpaksa menggunakan bilik anda sendiri apabila menerima kunjungan mereka kerana dikhuatiri akan menimbulkan segala aib jika mereka menumpang bilik anda. Sediakan juga bilik air tetamu dan ruang solat. Kerana ada juga yang tidak menumpang tidur tapi sekadar menumpang solat.
Jadi kita perlu memastikan kategori tetamu yang datang ke rumah sebelum kita menjemput mereka untuk masuk ke rumah bagi membataskan pergerakan dan pandangan mereka terhadap rumah dan penghuni rumah. Kerana rumah itu menunjukkan peribadi pemiliknya.
Saya akhiri dahulu di sini, untuk merancang ruang untuk menerima kunjungan tetamu, boleh dapatkan rekabentuk 3D ruang dengan saya. Setiap tempahan ruang akan direkabentuk mengikut kesesuaian dan keselesaan pemilik kediaman.
Hiasi Kediaman, Hiasi Peribadi
KHAIRUNNISA HAMZAHARA
{Senibina Kehidupan Di Rumah}
Tempah rekabentuk di sini=>http://rekabentuk3donline.blogspot.com/
Belajar bina asas blog di sini =>http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/p/kelas-asas-blog.html
Tempah Bekas Penyimpan untuk kediaman di sini=>http://tupperwareonline4u.blogspot.com/
Dapatkan pakaian muslimah ayu dan sopan di sini=> https://www.facebook.com/MySumayyaCollection
No comments:
Post a Comment