Mengimbas balik tempahan rekabentuk hiasan dalaman yang di tempah oleh seorang pelanggan yang merupakan juga sorang sahabat ketika bersekolah di Sekolah Menengah Sains Muar dahulu, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan dengan pembaca blog semua. Semasa pertama kali saya dihubungi oleh sahabat ini, beliau memberikan sedikit info tentang keperluan rekabentuk ruang dan keadaan sediaada rumah. Antaranya:
PERMINTAAN DARI PELANGGAN
Sahabat saya ini memberitahu bahawa kediaman nya merupakan rumah teres 3 tingkat. Ketika mendapat khabar itu saya terus rasa teruja untuk merekabentuk kediaman jenis teres 3 tingkat ini. Walau sahabat ini menempah rekabentuk hiasan dalaman untuk keseluruhan ruang di kediaman, terdapat dua ruang yang saya tidak perlu buatkan rekabentuknya iaitu dapur kering dan dapur basah. Ini kerana dia telah pun bina kabinet dapur sebelum berurusan dengan saya. Permintaannya adalah untuk menghasilkan rekabentuk hiasan dalaman yang praktikal bersesuaian dengan kehidupan rutin harian mereka yang sibuk bekerja.Oleh itu, saya telah meneliti dan merancang pelan rumah mereka dan menghasilkan rekabentuk hiasasn dalaman seperti berikut:
PELAN 3D KESELURUHAN TINGKAT BAWAH RUMAH
Gambar: Pandangan keseluruhan pelan 3D lantai bawah |
Gambar: Pandangan rekabentuk ruang entry dan ruang tamu |
RUANG ENTRY
Semasa membuat lakaran, saya membayangkan rutin harian pemilik rumah ini di dalam kediamannya sekeluarga. Lalu saya mulakan perancangan dari ruang pintu masuk utama kediaman ini. Dari pintu masuk utama satu laluan masuk diwujudkan untuk mewujudkan suasana menghormati tuan rumah. Ia memberi sedikit sekatan kepada pandangan direct ke dalam ruang rumah. Bagi tetamu asing, ia seolah-olah imegresion kerana perlu menunggu tuan rumah jemput masuk sebelum terus masuk ke dalam rumah. Jadi tak semestinya kediaman banglo atau rumah besar saja yang boleh kita cipta suasana "entry" sebegini. Di sini juga dilengkapkan dengan kabinet kasut dan juga keperluan lain seperti payung dan sebagainya. Malah ia boleh juga dijadikan kabinet menyimban album-album gambar buat tatapan tetamu yang berkunjung. Di atas kabinet ini dilengkapkan dengan panel kayu sebagai pemisah ruang. Di sebalik panel kayu ini adalah ruang tamu dan ruang menonton. Bertentangan kabinet ini dibina pula kabinet bina dalam yang lain memenuhi sekeping dinding untuk tujuan menyimpan barangan rumah agar nampak kemas. Cermin muka dan meja bar kerja serta 2 buah bangku stool dicadangkan untuk sediakan bersama kabinet bina dalam ini sebagai ruang persediaan terakhir untuk tuan rumah membuat persiapan akhir menguruskan diri dan dokumen kerja sebelum keluar meninggalkan rumah menuju ke pejabat. Ia juga boleh dijadikan sudut berbual bagi seorang tetamu kerja/tetamu urusan yang datang berkunjung ke rumah secara tiba-tiba untuk menyudahkan urusan penting seperti mengisi borang dan menandatangani surat.
RUANG TAMU
Satu step ke atas untuk naik ke ruang tamu. Ketika melangkah ke step atas tersebut tetamu boleh menghayati lukisan yang digantungkan di dinding bersebelahan step tersebut. Set sofa yang dicadangkan berkonsepkan sofa modern yang bercirikan gaya santai dengan L-shape. Bahagian L-Shape diletakkan menghadap pintu sliding kaca untuk menghayati taman di luar rumah.Kabinet TV dilengkapkan dengan almari berpintu untuk menyimpan buku atau majalah dengan kemas dan tersusun. Sebuah kerusi single yang boleh dialih dan lebih ringan turut diletakkan di ruangt tamu ini bagi memecahkan suasana rigid dengan sofa L-shaped tadi.
RUANG REHAT
Semasa menuju ke ruang makan, terdapat satu ruang pertembungan untuk simpang tiga :) iaitu laluan trafik dari ruang tamu, tangga dan ruang makan. Ruang ini dimanfaatkan sebagai ruang rehat (R&R). Ia dicadangkan untuk dibina box up kayu dan rak kaca bagi dihias dengan aksesori hiasan kediaman dan diletakkan dua buah kerusi serta meja kopi kecil untuk diletakkan buku, majalah dan surat khabar.
RUANG MAKAN
4 batang panel kayu dipasang untuk menutupi pandangan terus ke arah dapur dan ruang makan. Di ruang makan, ruangnya agak memanjang. Ia juga jauh dari ruang tv di ruang tamu. Bagi mengecewakan penghuni atau pengunjung dari terlepas menonton sesuatu rancangan ketika menikmati juadah, TV turut di wujudkan di ruang ini. Ia juga boleh dilihat oleh mereka yang di dapur. Kabinet TV direka luas dan lebar untuk dijadikan juga sebagai meja untuk buat persiapan hidangan ketika ada tetamu yang datang sebelum dihidang di meja makan.
PELAN 3D KESELURUHAN TINGKAT SATU
Gambar: Pandangan keseluruhan pelan 3D ruang tingkat satu |
Gambar: Pemandangan rekabentuk 3D ruang keluarga |
RUANG KELUARGA
Semasa menaiki anak tangga sehingga menuju tingkat atas di lantai satu, ruang pertama yang dijumpai adalah ruang tamu. Di tingkat ini terdapat 3 buah bilik. Oleh itu ruang kosong di hadapan tangga ini sesuai dijadikan ruang tamu. Namun oleh kerana ruang nya comel, elok untuk diletakkan sebuah sofa 2 seater dan meja kopi sahaja dan kemudiannya dilengkapkan dengan sebuah lampu berdiri di hujung sudut lantai. Dinding utama yang mencuri tumpuan dihias dengan wallpaper dan lukisan berbingkai. Untuk menyerikan ruang, rak digantungkan dan dipamerkan gambar-gambar kenangan keluarga. Dengan adanya ruang ini, setiap ahli keluarga dari 3 bilik tadi boleh saling bertembung dan bersantai di ruang rehat ini bersama bagi meluangkan masa bersama.
Gambar : Pandangan 3D bilik tidur master |
BILIK TIDUR MASTER
Bilik tidur master direka sebagai bilik untuk beristirehat dan bersiap-siap. Bagi mengurangkan stress dan kepenatan seharian bekerja, pemilihan konsep untuk bilik tidur perlulah dititik beratkan. Warna gelap boleh memberikan mood romantik kepada penghuninya. Di bahagian kepala katil dan kabinet lain diberikan tona warna yang sama iaitu warna coklat gelap. Kepala katil dipasang panel panel kayu dan di kiri kanannya diletakkan cermin muka. Ia membolehkan kedua-dua pasangan suami isteri melihat penampilan mereka seawal bangun pagi dari katil lagi. Di sisi katil juga dilengkapkan dengan meja sisi yang diletakkan lampu meja di atasnya. Meja solek dan meja TV di satukan malah ia boleh dijadikan meja membaca juga. Almari pakaian dibina sehingga ke siling dan hanya dipasang 2 pintu sliding yang besar agar nampak ringkas dan bergaya. Untuk menyedapkan kaki di dalam bilik ini, hamparkan sekali permaidani lembut di bahagian kerusi meja solek untuk melembutkan suasana.
Gambar: Pemandangan 3D Bilik tidur single |
BILIK TIDUR SINGLE
Bilik tidur single ini buat masa sekarang mungkin untuk kegunaan anak kecil pemilik rumah, namun di masa hadapan akan dijadikan bilik untuk pembantu rumah. Jadi satu konsep ringkas dan santai di gunakan untuk bilik ini di mana ia boleh digunakan oleh anak kecil atau pembantu rumah.
Gambar: pandangan 3D pelan bilik tamu |
Di tingkat satu turut ditempatkan bilik untuk tetamu. Bilik ini akan digunakan oleh ibu bapa yang datang berkunjung atau untuk tetamu jauh yang lain. Untuk keselesaan tetamu, ia dilengkapkan dengan sebuah katil queen dan almari pakaian sliding 2 pintu. Sebuah rak pemisah diletakkan berhampiran pintu bilik air untuk dijadikan ruang bersiap dan solat. Di kawasan ini diletakkan hamparan permaidani kecil dan meja solek yang turut boleh dijadikan meja membaca. Bangku santai juga dilengkapkan di bilik ini di dinding bertingkap. Jika ada budget lebih, boleh diletakkan TV gantung di dinding menghadap katil. Di atas kepala katil pula dihias dengan 3 buah frame lukisan.
PELAN 3D KESELURUHAN TINGKAT DUA
Gambar: Pandangan 3D pelan tingkat dua |
BILIK KERJA & STUDY
Bilik kerja dan bilik study di tingkat atas sekali pula direka khas untuk 2 orang iaitu untuk pasangan suami isteri. Kelak boleh turut digunakan oleh anak-anak yang sudah bersekolah dan membesar. Bilik ini agak luas jadi boleh dilengkapkan dengan almari bina siap di keliling dinding bilik bagi menyimpan keseluruhan barang kerja dan study dengan kemas dan teratur. Ia mengelakkan bilik kelihatan bersepah. Bilik ini dilengkapkan dengan katil single bagi merehatkan badan tanpa perlu ke bilik tidur utama untuk berbaring.
RUANG PANTRY
Istimewanya di tingkat atas sekali ini ada lorong kecil menuju ke bilik air. Bagi memasukkan mood di pejabat atau di library, jalan menuju ke "rest room" di berikan make up seperti sebuah pantry kecil. Selain meletakkan sink dan kabinet sink. Boleh juga diletakkan kabinet top untuk menyimpan cawan, sudu dan pinggan seperti sebuah pantry kecil untuk menyimpan kelangkapan refreshment setelah semalaman menyiapkan kerja atau study.
Gambar: Ruang Pantry |
BILIK TIDUR KANAK-KANAK
Bilik tidur kanak-kanak di reka muat untuk tidur dua orang anak. Ia dilengkapkan dengan dua buah katil almari, meja belajar dan rak. Anak-anak boleh bermain dan tidur di bilik ini sambil diperhatikan oleh ibu bapa yang sedang menyiapkan kerja di bilik sebelah.
Jadi, itulah dia serba sedikit perkongsian rekabentuk hiasan dalaman rumah jenis tiga tingkat ini. Saya mendoakan agar penghuni rumah ini iaitu sahabat saya sekeluarga dapat merealitikian impian mereka untuk merekabentuk dan menghias kediaman agar menjadi lebih selesa dan praktikal dalam kehidupan seharian. Hiasilah kediaman, Hiasilah Peribadi. Semoga Seribu keberkatan diberikan oleh Allah kepada semua penghuni kediaman ini dan kepada tetamu yang datang berkunjung. Ameen
Sebelum mengakhiri entry ini, sukalah saya untuk kongsikan maklumbalas yang diterima dari sahabat saya ini iaiatu:
"kalau nk ckp psl 3d online services ni, i am satisfied with the design produced. It matches the requirement and the design is to our liking. Feedback dapat on time, one thing to request, is to to use exact measurement so that we can plan accordingly on the sizing of the furniture, barang2.Other than that, satisfied" Hidayah Hussein
Sampai di sini dahulu, bertemu kita di lain entry
Salam sayang dari saya
KHAIRUNNISA HAMZAHARA
Senibina Kehidupan di rumah
Untuk tempah rekabentuk kediaman atau hiasan dalaman boleh masuk di sini: http://rekabentuk3donline.blogspot.com/
Jika ingin belajar asas merekabentuk menggunakan sketchup secara online, baca di sini:http://rekabentuk3donline.blogspot.com/p/kelas-sketchup-online.html
Untuk belajar bina blog sendiri secara online, baca disini:
http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/p/kelas-asas-blog.html
No comments:
Post a Comment