NUFFNANG

Sunday 16 April 2017

Rumah Mesra Untuk Anak Kecil Dan kanak-kanak

Teks: khairunnisa hamzah
Imej : Google, Pinterest, Koleksi Peribadi


Rumah mesra anak

Ingat tak masa kita kecil dahulu? 

Seronok kita bermain di rumah tanpa larangan. Begitu juga di luar rumah. Kita seronok bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kala sudah maghrib baru kita pulang ke rumah. Saat kita pulang ke rumah, rumah sudah pun kemas dan tiba masa untuk kita siapkan diri untuk makan, solat dan mengaji sebelum kita masuk ke bilik tidur.

Itu corak kehidupan zaman kecil kita.

Bagaimana pula corak kehidupan zaman kecil anak-anak kita sekarang ini?
Sedar tak kita yang anak-anak kita tidak hidup bebas seperti kita dahulu?

Anak-anak kita sekarang lebih elok berada di rumah berbanding di luar rumah.

Kerana apa?

Kerana faktor persekitaran yang tidak mesra lagi dengan anak-anak kecil dek kerana kegelojohan pembangunan di mana-mana dan juga ketirisan ekonomi yang sedang di alami di Negara kiita.

Ia menyebabkan persekitaran rumah kita kini mengalami pencemaran alam sekitar, pencemaran gejala sosial, penyebaran penyakit berjangkit, dan paling menakutkan adalah jenayah penculikan kanak-kanak yang semakin berleluasa.

Oleh itu, anak-anak lebih banyak berada di rumah berbanding di luar rumah. Bagi memberikan persekitaran yang baik buat anak-anak membesar, kita perlu mula memikirkan keperluan anak-anak di rumah agar ia tidak memberikan tekanan kepada anak-anak kerana perlu berada di rumah.

Ini kerana fitrah anak-anak itu sukakan kebebasan, kegembiraan dan suka membuat eksperimen baru setiap hari. 

Jadi selaku ibu bapa , apakah yang kita boleh lakukan agar rumah kita menjadi mesra kepada anak-anak?

Sebelum saya mengupas lebih lanjut tentang perkara ini, mari kita bincangkan dahulu bagaimana fitrah sifat seorang anak kecil? Dari sini , kita akan cuba lakukan sesuatu agar kita tidak menghalang fitrah kelakuan anak-anak ketika berada di rumah Di bawah ini adalah antara fitrah anak kecil yang telah dikenal pasti :


1.    Suka mencuba
2.    Suka membuat bising
3.    Suka menyepahkan
4.    Suka makan dengan banyak dan pelbagai
5.    Suka teknologi canggih
6.    Suka bermain di luar
7.    Suka bergerak aktif
8.    Suka binatang

Daripada sifat fitrah anak-anak kecil yang kita dapat kenalpasti seperti di atas, apakah yang boleh kita sediakan di rumah agar rumah kita mesra dengan fitrah anak-anak tadi?

Suka untuk saya mengingatkan diri kita bersama agar tidak menghalang fitrah anak kecil ini. Kerana apabila kita menghalang, kita telah membantutkan proses perkembangan mental, jiwa dan fizikal mereka.

Baiklah, saya cuba tonjolkan antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memenuhi fitrah anak-anak kecil ini di rumah kita sendiri:




Suka mencuba

Anak-anak kecil suka mencuba perkara baru. Mereka mahu membuat apa yang dibuat oleh orang lain. Terutamanya oleh ibu bapa atau adik beradik sendiri. Misalnya, jika ibu membuka laci untuk mengambil barang, anak kecil juga akan cuba membuka laci untuk mengambil barang.

Untuk keselamatan anak, elakkan mempunyai perabot dan kelengkapan rumah yang tinggi. Terutamanya untuk tempat simpan barang yang sering digunakan atau yang disukai oleh anak.

Jika anak kecil melihat ibunya ambil biskut dari almari gantung di atas dapur, boleh jadi anak kecil akan usaha untuk cuba memanjat dapur bagi mendapatkan balang biskut tersebut. Sebaiknya kita sediakan almari di bahagian bawah untuk simpan makanan anak-anak. Di kala usia kecil, mereka sibuk mahu mencuba sendiri. Berikan mereka pengalaman berusaha sendiri mendapatkan biskut mereka.






Suka membuat bising

Anak bukanlah kereta control yang mempunyai remote. Atau bukan juga seperti televisyen yang boleh di laraskan volume suaranya. Bercakap kuat ketika bermain dan bergelak ketawa itu perkara biasa yang mereka suka lakukan. Jika tetamu datang ke rumah, adakah relevan untuk kita menyuruh anak kita diam?
Pasti tidak senang duduk mereka.

Sebaiknya kita sediakan satu ruang untuk anak-anak bermain riang dengan bebas. Ibu bapa boleh sediakan bilik mainan anak dengan penebat suara. Penebat suara boleh dihasilkan dengan memperbanyakkan kelengkapan di dalam bilik tersebut seperti sofa, karpet, langsir, almari , bantal besar, teddy bear dan sebagainya. Lagi banyak barang, lagi ia menebat suara. Apabila pintu ditutup, suara anak bermain sudah kedengaran sayup sahaja. Saya pernah melihat bilik yang ditebat dinding nya dengan bekas telur. Ia benar-benar menyerap bunyi. Main drum pun rumah masih tenang, tidak keluar bunyi apabila pintu ditutup.



 Suka menyepahkan

Letih kan? Sebaik kemas, sepah semula. Biasalah. Nama pun anak kecil. Sifat mereka memang suka ambil benda kemudian tidak pula menyimpan kembali. Selepas tertarik dengan benda lain, benda yang tadi ditinggalkan saja di tempat dia berada buat kali terakhir tadi.

Jadi apa ibu bapa boleh buat?




Ibu bapa boleh wujudkan sistem storage di merata tempat. Setiap ruang ada sistem storage tersendiri. Ini sangat membantu terutamanya jika tiba-tiba menerima kunjungan tetamu dan kita tidak sempat untuk menyimpan kembali barang yang dikeluarkan oleh anak.

Atau, ibu bapa boleh sediakan bilik khas untuk anak puas punggah barang untuk bermain. Jika ada lebihan tanah diluar, boleh lah sediakan ruang bermain anak di luar rumah seperti bangsal permainan seperti di dalam cerita-cerita orang putih yang kita tonton. Cumanya pastikan ia di bawah pokok atau di bawah anjung rumah. Ini kerana iklim Negara kita sangat bahang ketika tengah hari dan petang.





Suka makan dengan banyak dan pelbagai

Anak-anak kecil suka sangat makan. Jika tidak ada sistem kawalan, pasti rumah cepat meleket dan kotor. Apa tidaknya, ketika tangan meleket atau mempunyai coklet, sekejap saja sudah di lap ke langsir atau sofa.

Ciptakan satu ruang makan untuk anak kecil. Di sini mereka boleh bebas menikmati makanan tanpa bebelan orang tua. Kerusi dan meja mengikut saiz dan ketinggian mereka. Warna yang digunakan juga adalah warna yang ceria. Sediakan balang-balang comel untuk mengisi makanan snek yang digemari. Temani mereka untuk habiskan makan dan minum di situ.



Pasti mereka berasa anda ibu bapa yang sangat menyanyangi mereka kerana menemani dan menyediakan tempat makan khas buat mereka. Sebenarnya ia adalah satu sistem untuk memastikan rumah anda terkawal daripada kekotoran yang disebabkan oleh makanan.


Suka teknologi canggih

Sekarang anak seawal usia 1 tahun pun sudah mahu cua sendiri pasang wayer charger. Mereka senantiasa tertarik untuk memetik suis dan cuba sendiri memasang plug. Awas! Sudah banyak kita dengar berita tentang kisah kematian anak kecil yang suka menarik wayer yang sedang berarus elektrik.


Suis elektrik boleh dipasang di dalam kabinet atau di ubah ke kedudukan yang tinggi. Yang boleh dicapai oleh orang dewasa saja. Suis elektrik di bawah sebenarnya tidak relevan dan membahayakan keadaan. Selain daripada bahaya anak bermain suis elektrik, ia juga bahaya apabila berlakunya banjir dan ditenggelami air.

Bagi anak yang suka kan teknologi ini, ibu bapa sebaiknya charge bateri gadget secukupnya terlebih dahulu. Kemudian barulah “menghidangkan” gadget di ruang khas untuk bermain. Di ruang ini ibu bapa boleh memantau aktiviti anak bersama.


Suka bermain di luar



Sudah lumrah kanak-kanak kecil sukakan kebebasan. Ruang dalam rumah yang sempit tidak sesuai dijadikan medan permainan mereka kecuali ruang tersebut lapang dan tidak mempunyai perabot yang membahayakan. Untuk bermain luar kawasan rumah seperti di padang dan jalan raya pula perlukan pantauan orang tua.

Apa yang boleh dilakukan adalah ibubapa boleh mewujudkan ruang permainan anak khas di bilik kosong, di anjung rumah atau di laman. Antara aktiviti yang boleh disediakan adalah seperti buaian, ruang untuk menari dan berlari, serta ruang untuk mengekspresikan diri. Sebab itu kita biasa melihat orang putih menyediakan pondok permainan anak mereka di laman belakang rumah. Di sini ibu bapa boleh memantau anak mereka ketika memasak dan berkebun di laman.


Suka bergerak aktif



Anak- kecil suka berkejaran. Mereka aktif bergerak dari awal bangun sehingga menutup mata kembali. Setiap saat boleh berlaku keadaan yang tidak di duga. Ada ibu bapa yang takut memikirkan keselamatan anak mereka sehingga mereka lebih “rela” “mengosongkan” rumah. Tiada apa-apa perabot di rumah bagi mengelakkan berlaku nya kejadian yang tidak diingini.

Namun begitu, jika ada peruntukan, ibu bapa boleh memasang lantai dengan lantai lamina kayu. Ia tidak sekeras lantai simen. Kecederaan apabila terjatuh di lantai kayu tidak seteruk lantai simen. Lebih baik jika lantai di alas dengan fabric tebal seperti karpet. Untuk elakkan dari anak terhantuk ke dinding pula, boleh letakkan bantal-bantal besar di tepian dinding. Perabot yang digunakan sebaiknya perabot yang tidak mempunyai bucu yang tajam. Sekiranya sudah membeli perabot yang mempunyai bucu yang tajam, ibu bapa boleh dapatkan “safety corner” yang ada dijual di kedai atau di Lazada. Ia menutup bucu tajam dan menjadikannya membulat.


Suka binatang


Seorang anak jiran saya pernah dinasihatkan oleh dokter pakar untuk membela haiwan peliharaan. Ini kerana anaknya begitu aktif dan tidak fokus kepada setiap perbuatan. Apabila dia diberikan tanggungjawab khas, dia menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.



Bagi ibu bapa yang turut membela haiwan di rumah untuk anak-anak, wujudkan satu ruang khas untuk anak-anak bermain dengan haiwan peliharaannya seperti di belakang rumah atau di anjung rumah. Sebaiknya elakkan haiwan dari masuk ke dalam rumah.

Dengan muwujudkan taman khas untuk membela haiwan ini, anak merasakan dia mempunyai satu ruang yang sangat istimewa untuk dia pergi setiap hari.  


Suka menulis dan membaca


Menulis dan membaca adalah satu skill baru yang didambakan oleh anak kecil. Mereka mahu segera tahu membaca dan menulis. Oleh itu ini akan menjadi aktiviti wajib mereka setiap hari. Mereka akan terus menerus melakukan aktiviti ini.

Sekiranya tiada tempat khas yang disediakan untuk menulis sejakd ari awal, anak kecil akan perlahan-lahan cuba menulis di lantai dan di dinding. Ibu bapa boleh menyediakan ruang untuk anak-anak menulis dan membaca. Jika anak sangat aktif dan masih mahu menulis di dinding, kini sudah ada cat dinding yang boleh di conteng dengan kapur dan pensil warna. Sebaik selesai menulis, ibu bapa boleh membersihkan dinding itu kembali.


Untuk aktiviti membaca, sediakan reading corner khas buat anak dengan buku yang sentiasa ditukar ganti. Kerana anak cepat bosan dengan buku yang sama. Simpan separuh buku dan selang selikan berada di situ untuk setiap minggu yang berlainan.

Tahniah kepada ibu bapa yang berhempas pulas menyediakan keperluan si anak kecil. Percayalah usaha anda sangat berbaloi. Kerana anak yang dihargai akan lebih menyanyangi kedua ibu bapanya dan orang di sekelilingnya. InsyaAllah!

Khairunnisa Hamzah
Penulis Buku Supermama Terbitan Telaga Biru
Penasihat Kediaman Online/ Penulis/Perekabentuk / Blogger
@ Blog Panduan Untuk Kediaman Idaman

untuk dapatkan buku supermama boleh whatsapp penulis di 0197720507





0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LIKE OFFIAL FB KHAIRUNNISA HAMZAHARA

LIKE PAGE REKABENTUK 3D

LIKE PAGE PENULIS BEBAS DAN USAHAWAN ONLINE

LIKE PAGE BELAJAR BLOG ONLINE

LIKE PAGE HOMESTAY PENULIS

LIKE PAGE BUTIK MUSLIMAH PENULIS

LIKE PAGE WAHM SAHM SOHO